KJ sahkan jadi penyampai radio Hot FM
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan dirinya akan bertugas sebagai penyampai radio di stesen radio Hot FM pada minggu hadapan.
Perkara tersebut disahkan oleh Khairy atau lebih dikenali dengan panggilan KJ menerusi panggilan telefon dalam segmen Bekpes Hot yang dikendalikan penyampai radio Hot FM, Johan, AG dan Datuk AC Mizal.
“On let’s go (saya mahu),” jawab Khairy ringkas kepada AG seteleh ditanya sama ada beliau mahu menjadi penyampai radio Hot FM atau tidak.
Sementara itu, Media Prima Audio (MPA) hari ini mengesahkan Khairy akan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM, mulai Rabu depan.
Kata MPA, Khairy akan mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen radio popular itu, mulai 15 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, kehadiran Khairy sebagai penyampai radio diambil Hot FM akan memberikan pengisian segmen Bekpes Hot yang lebih segar dan relevan kepada pendengar.
“Khairy atau KJ bukan sahaja ahli politik dan pemimpin yang hebat, tetapi juga beliau pempengaruh yang mempunyai impak besar buat rakyat Malaysia.
“Kehadiran KJ bukan hanya akan memberi sesuatu yang berbeza kepada pendengar menerusi gandingan ahli politik, pelawak dan penyampai radio, tetapi dimensi baharu untuk landskap radio negara.
“Pengisian dan kandungan segmen akan diolah untuk menjadi lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan serta mampu memberi aura positif kepada pendengar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Nazri, perlantikan Khairy diharap memberi impak lebih baik kepada Hot FM sekali gus dapat menarik lebih ramai pendengar baharu.
“Jutaan terima kasih dan penghargaan kepada KJ kerana sudi menyertai kami sebagai penyampai Bekpes Hot,” katanya lagi.
Minggu lalu, tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 membabitkan jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.