Berita Semasa

Tipu invois Jualan Rahmah, SPRM reman penjawat awam

ALOR SETAR – Seorang penjawat awam wanita ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu berkaitan program Jualan Rahmah, tahun lepas.

Laporan FMT yang memetik sumber berkata, wanita berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 9 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

Perintah tahanan reman selama lima hari hingga 26 Jan terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret semalam.

“Suspek dipercayai menggunakan dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran Program Jualan Rahmah 2023 berjumlah kira-kira RM22,000,” katanya.

Menurut sumber, suspek dipercayai menjadi perancang utama dan berpakat dengan pemilik syarikat untuk menggunakan invois yang mengandungi butir palsu iaitu kuantiti jualan melebihi kuantiti sebenar yang terjual.

Katanya, perkara itu dikesan setelah mendapati invois yang dikemukakan tidak sama dengan Laporan Ringkas Program Jualan Rahmah 2023 yang dikeluarkan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Soock Wee Ei Tem ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button