Pergaduhan pelajar sekolah, polis terima dua laporan
CYBERJAYA – Pihak polis mengesahkan sudah menerima dua laporan kelmarin berhubung kes beberapa pelajar didakwa menumbuk dan menendang seorang lagi pelajar di sebuah sekolah di Tanjung Aru, dekat Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, dua laporan itu berkait pergaduhan membabitkan pelajar lelaki.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, dua kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan cedera.
Mohd Zaidi turut menambah, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan jenayah, termasuk dalam kalangan pelajar, meliputi kes mendatangkan cedera serta buli.
Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi 23 saat yang memaparkan seorang pelajar lelaki ditumbuk dan ditendang beberapa pelajar lain dalam kejadian dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Tanjung Aru, Sabah.