Teguran kepada menteri boleh dibuat dalam mesyuarat, secara peribadi
PUTRAJAYA – Penjawat awam yang ingin membuat teguran terhadap Menteri Kabinet boleh menggunakan saluran pertemuan seperti dalam mesyuarat pos-Kabinet atau bertemu secara peribadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, teguran dan pandangan perlu dikemukakan sekira penjawat awam merasakan keputusan atau tindakan yang dilakukan oleh jemaah menteri termasuk Perdana Menteri sendiri telah melanggar peraturan.
“Janganlah sampai buat kenyataan di RTM. Kita ada mekanisma, melalui pertemuan saban hari ada mesyuarat pos kabinet (misalnya), boleh kemukakan pandangan, kalau rasa agak menyingung mungkin boleh jumpa secara berasingan tapi harus tegur.
“Kalau saya dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) misalnya, saya selalu sebut kalau arahan saya ikut peraturan dan sesuai, okay… kalau tidak tolong nasihat,” katanya pada sidang media Perdana Menteri Pasca Mesyuarat Kabinet Kerajaan Perpaduan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya ada kaedah khusus yang sedang dipertimbangkan kerajaan untuk membolehkan penjawat awam berbuat demikian.
Anwar berkata, tindakan itu penting untuk memastikan ‘budaya rasa takut’ kepada pemimpin dapat ditangani demi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada negara.
“Jika tidak budaya itu jadi budaya rasa takut, jika ada perlanggaran dia diam. Ini barulah kita ada kerja berpasukan, jadi dia (penjawat awam) juga harus terima kenyataan bahawa ketelanjuran mereka kita (pemimpin) juga harus tegur,” katanya.
Perdana Menteri dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri pada Isnin lalu mahu pegawai dan kakitangan awam menegur sebarang keputusan dibuat Menteri Kabinet termasuk beliau sendiri jika ada pelanggaran peraturan.
Kenyataan itu dibalas oleh Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat yang mahu kerajaan mengeluarkan satu garis panduan jelas berhubung kaedah untuk teguran itu dilakukan bagi mengelak penganiyaan terhadap pengadu.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mempertimbangkan cadangan penambahan jawatan hakim mahkamah tinggi di Sabah dan Sarawak ekoran peningkatan kes di dua negeri berkenaan.
“Berhubung tambahan jawatan hakim di Sabah dan Sarawak. Kita berikan sedikit keutamaan… pertamanya penambahan jawatan-jawatan dengan meningkatnya kes di Sabah dan Sarawak
“Keduanya tentang keperluan melihat kedudukan bangunan mahkamah di Sabah dan Sarawak yang didapati agak daif,” katanya.
Bagaimanapun katanya, proses pelantikan itu perlu dilakukan mengikut peraturan sasar perlembagaan dan dirujuk kepada Yang Dipertua Sabah dan Sarawak sebelum dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong.