Dr Akmal Saleh sah bertanding Ketua Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan beliau menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti akan datang.
Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka itu membuat pengumuman itu dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.
“Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani.
“Moga Allah permudahkan segala urusan dan ikhlaskan perjuangan ini kerana Allah,” katanya yang turut memuat naik keratan berita sebuah akhbar yang disiarkan kelmarin mengenai kesediannya untuk mengisi kekosongan jawatan yang bakal ditinggalkan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Jawatan Ketua Pemuda UMNO dijangka menyaksikan pertandingan sengit apabila jawatan itu turut menarik minat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah untuk bertanding.
Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022) baru-baru ini, dua jawatan tertinggi UMNO iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak akan dipertandingkan.
Bagaimanapun, jawatan kanan lain iaitu naib presiden, ketua wanita, ketua pemuda, ketua puteri, MKT bakal menyaksikan persaingan sengit daripada penyandang sedia ada dan muka baharu.