Berita SemasaPM X

Negara mampu jimat RM10 bilion jika ketirisan tidak berlaku

PUTRAJAYA – Kerajaan mampu menjimatkan sehingga RM10 bilion daripada ketirisan yang berlaku dalam sistem perolehan sekiranya amalan rasuah di semua peringkat dapat dihentikan sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengesan berlaku ketirisan yang sepatutnya dapat dielakkan termasuk campur tangan orang politik dalam perbelanjaan negara.

Sebagai contoh kata beliau, sepanjang dua bulan menggalas pentadbiran negara, dianggarkan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion dapat dijimatkan jika perbelanjaan peralatan ketenteraan diuruskan dengan lebih profesional.

“Rasuah ini bersistemik. Yang atas dapat beratus juta ringgit, yang bawah puluhan ribu. Jadi macam mana nak tangani dengan cara besar?

“Kita mengalami kebocoran yang tinggi. Belum dua bulan (saya) di Kementerian Kewangan sudah kenal pasti RM3 bilion hingga RM4 bilion yang boleh diselamatkan.

“Kita boleh selamatkan mungkin RM10 billion daripada kebocoran yang terus berlaku dalam sistem perolehan,” katanya ketika berucap pada majlis Dialog Belanjawan 2023 bertema ‘Membangun Malaysia Madani’ di sini hari ini.

Turut hadir ialah dua Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Justeru Perdana Menteri mahu supaya proses perolehan negara diserahkan kepada pihak yang berkemampuan tanpa melibatkan orang tengah atau ahli politik yang mendapat habuan daripada kontrak.

“Perolehan peralatan tentera (misalnya) perlu diserahkan kepada yang berupaya, ini boleh dikurangkan pembaziran,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button