Berita Semasa

Sembang Buku dan Kopi buka ruang penulis buku kongsi pengalaman

SHAH ALAM – Program Sembang Buku dan Kopi berlangsung meriah dan dilihat telah mencapai objektifnya apabila berjaya menghimpunkan ramai pemain industri dalam dunia penulisan di sini, hari ini.

Menurut Penganjur, Norden Mohamed, program tersebut buat julung kalinya diadakan dengan kerjasama Perpustakaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan berlangsung selama beberapa jam hari ini.

Katanya, program Sembang Buku dan Kopi ini bukan sahaja menghimpunkan penulis novel malah turut dihadiri penulis buku kanak-kanak, editor dan ramai lagi.

“Buku dan kopi ini adalah perjumpaan penulis, bukan sahaja penulis novel tetapi juga melibatkan penulis buku kanak-kanak penulis buku agama, editor dan bermacam-macam lagi.

“Siapa-siapa yang terlibat dalam bidang penulisan hadir untuk bersembang mengenai industri dan dunia penulisan masing-masing. Di samping itu kami juga berkongsi idea, pendapat dan membina satu rangkaian, ini yang mustahak.

“Kita tidak mahu program ini menjadi terlalu kaku, oleh itu perjumpaan ini tidak terhad dalam program sahaja yang mana kita galakkan perjumpaan untuk dilakukan di luar sesi ini dan masing-masing ada topik untuk dibincangkan,”katanya kepada Malaysia Tribune.

Tambah Norden yang juga pemilik kedai buku IQRA Read, kebiasaanya program tersebut diadakan di Malakat Mall, Cyberjaya, namun untuk edisi kali ini beliau telah dijemput untuk menganjurkan program tersebut di Perpustakaan PKNS.

“Biasanya kami mengadakan program ini di Pulun24, Malakat Mall tetapi program hari ini membawa pendekatan yang berbeza kerana diadakan perpustakaan yang mana persekitaranya juga berbeza,” ujarnya.

Ditanya mengenai harapan dan perancangan bagi program akan datang, Norden berkata, beliau mengharapkan supaya lebih ramai penulis akan hadir di samping sudah merancang untuk mengadakan Temasya Buku dan Kopi hujung Januari ini.

“Harapan saya supaya lebih ramai lagi penulis akan hadir kalau mahu diadakan di dua atau banyak tempat pun bagus dan sudah tentu selepas ini kita akan ada lebih sesi yang lebih besar yang saya namakan ‘Temasya Buku dan Kopi’.

“Insya-Allah hujung bulan Januari ini kita kita akan adakan temasya ini di Malakat Mall, di mana kita akan ada lebih ramai pengunjung, penulis bertemu dan akan ada juga temu bual serta jualan buku,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button