
MKI putuskan 12 buku bertentangan syariah, akhlak Islam perlu diharamkan
KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 buku yang didapati bertentangan dengan ajaran Islam dikenakan Perintah Larangan Kementerian Dalam Negeri, demikian keputusan yang dibuat Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, 12 buku itu mengandungi ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan akidah ahli Sunnah Wal Jamaah (AI-Asya’irah AI- Maturidiyyah), syariah dan akhlak Islam yang dapat mengelirukan masyarakat Islam.
Katanya, buku itu ialah ‘The Goal of The Wise’ (Abdullah Hashem Aba al-Sadiq); ‘Memahami dan Menyingkapi Tradisi Tuhan – Kebangkitan yang Dibenci tapi Dirindui’ (Ahmad Mesiyyakh); ‘Manusia Sebelum Adam’ (Luqmanul Hakim Abdul Razak); ‘Suhuf Abraham’ (tanpa penulis & tahun terbit); ‘Suka Duka Perjalanan Dhul Qarnain’ (tanpa penulis & tahun terbit) serta ‘Islam, Autoritarianisme dan Kemunduran Bangsa’ (Ahmet T. Kuru).
Buku yang turut disenaraikan ialah ‘Perikatan Ulama – Negara Punca Autoritatianisme dan Kemunduran Dunia Muslim’ (Ahmet T. Kuru); ‘Golongan Muslim Pertama, Sejarah dan Memori’ (Asma Afsaruddin); ‘Jalan Kebenaran Universal’ (tanpa penulis & tahun terbit); ‘Duhai Hati – Menarilah Bersamaku’ (Ismail Ariffin@Lepat); ‘Kaidah Moral dan Disiplin’ (tanpa penulis & tahun terbit) serta ‘Penemuan Terbaru Akidah Bersanad Imam AI-Shafi’i’ (Sadr al-Din Abu al-Wafa’ Sulayman bin Yusuf al-Yasufi).
Terdahulu, ketetapan itu dipersetujui semasa Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang bersidang pada 24 hingga 26 September tahun lalu bagi membincangkan mengenai Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Media Berunsur Islam (JPMBI) Kali Ke-96.
Dalam kenyataan sama, Nooh turut mengingatkan semua umat Islam adalah dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan apa-apa terbitan berkenaan isi kandungan buku-buku tersebut.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |