Berita SemasaLuar Negara

Panglima ATM tinjau kesiapsiagaan MALBATT 850-12 di Lubnan

KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar telah mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Lubnan bagi meninjau tahap kesiapsiagaan anggota MALBATT 850-12 yang bertugas di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Menurut Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lawatan tersebut memberi ruang kepada anggota untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan ATM serta mengekalkan interaksi dan penglibatan berterusan PAT melalui sesi dialog bersama pegawai dan anggota.

“Usaha ini merupakan salah satu inisiatif kepimpinan ATM dalam menjaga kebajikan serta menaikkan semangat anggota yang bertugas jauh dari tanah air,” kata ATM dalam satu kenyataan hari ini.

Hadir sama dalam lawatan tersebut, ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Angkatan Bersama Datuk Zahani Zainal Abidin.

Tambah ATM, menerusi lawatan yang diadakan dari 2 April hingga semalam itu, PAT turut mengadakan beberapa kunjungan hormat dan lawatan, antaranya ke atas Duta Besar Malaysia ke Lubnan Azri Mat Yacob serta Panglima Angkatan Tentera Lubnan Jeneral Rodolph Haykal.

MALBATT 850-12
Mohd Nizam (kanan) mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Malaysia ke Lubnan Azri Mat Yacob (kiri). – Foto Markas ATM Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan.

Menurut ATM lagi, pertemuan tersebut mengukuhkan hubungan diplomatik serta menghargai sokongan Kedutaan Malaysia terhadap misi ATM, selain mempererat hubungan dua hala antara ATM dan Angkatan Tentera Lubnan.

Seterusnya, PAT telah mengadakan Kunjung Hormat kepada UNIFIL Force Commander, Lieutenant General Aroldo Lázaro Sáenz di UNIFIL Headquarters, Naqoura.

Jelas ATM, kunjungan itu bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara ATM dan pasukan pengaman PBB, serta membincangkan perkembangan terkini misi keamanan di Lubnan.

“Selain memperlihatkan komitmen Malaysia dalam memastikan kestabilan di kawasan konflik, pertemuan ini juga memberi peluang kepada PAT untuk mendapatkan maklumat langsung mengenai cabaran yang dihadapi oleh MALBATT 850-12 dan memastikan operasi pengaman terus berjalan lancar,” menurut kenyataan ATM.

Selain itu, Mohd Nizam turut menyantuni anggota ATM yang bertugas di Kem Marakah, Kem Harris dan Kem Tibnine yang menempatkan anggota MALBATT 850-12.

MALBATT 850-12
Mohd Nizam menghadiri Majlis Hari Raya bersama anggota MALBATT 850-12. – Foto Markas ATM Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan.

Dalam pada itu, beliau juga meluangkan masa menghadiri Majlis Hari Raya yang diadakan di Kem Marakah dan Kem Tibnine serta mengadakan sesi dialog, tinjauan fasiliti dan menyampaikan beg Hari Raya Aidilfitri kepada anggota di sana.

“Sambutan ini menunjukkan semangat kebersamaan dan solidariti yang kukuh, walaupun berjauhan dengan keluarga, seluruh warga MALBATT 850-12 tetap dihargai dan diraikan dalam suasana penuh kekeluargaan,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohd Nizam turut menerima beberapa taklimat penting berkaitan operasi dan peranan ATM dalam Misi Pengaman PBB di Lubnan, seperti Taklimat Kawasan Tanggungjawab dan Taklimat daripada MALAWAKIL New York (PBB).

“Lawatan ini turut mempererat semangat kerjasama antara negara, meningkatkan koordinasi dalam operasi pengaman serta menonjolkan dedikasi ATM dalam menyumbang kepada keamanan antarabangsa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button