Berita Semasa

Tetap bersyukur walaupun rumah tidak lagi selamat diduduki – Che Afizy

SUBANG JAYA – Seorang pemandu lori, Che Afizy Che Mat, 40, reda dengan nasib menimpa keluarganya apabila rumah mereka di Kampung Kuala Sungai Baru, dekat sini rosak teruk dalam insiden letupan paip gas baru-baru ini.

Menurut Che Afizy, ketika kejadian berlaku beliau berada di tempat kerja.

Che Afizy Che Mat

“Saya keluar rumah pukul 7 pagi. Sekitar jam 8.30, isteri telefon beritahu ada letupan. Saya terus balik dan lihat api sudah marak besar dan terlalu panas,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan sumbangan tunai daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights pagi tadi.

Tambah Che Afizy, dalam usaha menyelamatkan ahli keluarganya, beliau segera menyuruh isterinya keluar dari rumah sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Namun, isterinya mengalami kecederaan melecur di bahagian badan dan tangan akibat terkena bahang api.

Keadaan kereta milik Che Afizy yang rosak teruk akibat letupan paip gas tersebut.

Pasangan itu mempunyai dua orang anak, termasuk seorang murid darjah tiga, manakala yang bongsu berusia hampir tiga tahun.

Seramai empat ahli keluarga Che Afizy kini ditempatkan di PPS tersebut selepas rumah mereka diisytiharkan sebagai zon merah dan tidak selamat untuk diduduki.

Menurutnya lagi, letupan besar itu turut menyebabkan kerosakan pada struktur rumah termasuk bumbung, siling dan cermin tingkap yang pecah.

“Saya bersyukur kerana bantuan awal seperti perubatan, makanan dan tempat pemindahan telah diberikan dan kami berpuas hati setakat ini.

“Tak perlu bergerak jauh untuk urusan dokumen seperti kad pengenalan dan bantuan zakat,” tambah beliau.

Kejadian yang menggemparkan negara itu telah menggamit simpati banyak pihak dan Che Afizy kini hanya berharap agar keluarganya terus tabah menghadapi ujian yang menimpa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button