Tidak munasabah mansuh pencen anggota Kabinet – PM Anwar
PUTRAJAYA – Cadangan supaya pencen anggota Kabinet dikurangkan atau dimansuhkan adalah tidak munasabah kerana perkara berkaitan pencen termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika langkah penjimatan ingin diambil, antara yang boleh dilaksanakan adalah membatalkan kemudahan kereta bagi bekas menteri yang mendapat kemudahan tersebut.
Jelas Anwar, langkah sedemikian adalah lebih baik kerana ia melibatkan peraturan pentadbiran tanpa melibatkan Perlembagaan.
“Ada yang uar-uarkan kononnya Kerajaan Perpaduan ini akan menimbangkan untuk mengurangkan pencen, itu tidak munasabah kerana isu ini soal perlembagaan dan harus diteliti dan dirujuk semua pihak,” kata Anwar pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Tedahulu, bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dilaporkan sebagai berkata, kerajaan mampu menjimatkan RM100 sehingga RM150 juta perbelanjaan negara setiap tahun sekiranya pencen bekas anggota Kabinet dimansuhkan.
Menurut Noor Amin, berdasarkan sistem semasa negara dan jumlah bekas Kabinet yang layak menerima pencen, kos yang ditanggung untuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen adalah RM100 hingga RM150 juta setahun.