Berita Semasa

Tanah runtuh Batang Kali: Dana terkumpul cecah RM800,000 bantu mangsa SJKC Mun Choong

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM800,000 dana terkumpul hasil sumbangan pelbagai pihak bagi membantu warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali baru-baru ini.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Mun Choong, Yu Chin Ong, dana tersebut merupakan satu inisiatif yang diambil oleh PIBG sekolah berkenaan.

Katanya, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengagihkan wang sumbangan tersebut.

“Saya dan pihak PIBG sekolah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan orang ramai tak kira bangsa, agama kerana sama-sama mahu bantu SJKC Mun Choong.

“Setakat ini kita (PIBG) dapat dana lebih kurang RM800,000 dan kita akan tubuhkan satu jawatankuasa yang akan kaji bagaimana cara terbaik untuk menyalurkan bantuan sumbangan terkumpul kepada keluarga mangsa terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan SJKC Mun Choong di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, ini merupakan contoh semangat rakyat Malaysia dalam meringankan beban golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa dan agama.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Yin, melakukan lawatan ke SJKC Mun Choong pagi tadi, bagi meninjau hari pertama sesi persekolahan 2023 sekolah itu.

Kata Hui Yin, seramai 25 orang guru kaunseling telah ditempatkan di sekolah itu bagi memberikan bantuan psikologi kepada empat kelas yang terkesan terhadap bencana tanah runtuh itu.

Sebelum ini, Malaysia Tribune melaporkan, seramai 92 mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali selain mengorbankan 31 nyawa, manakala 61 yang lain terselamat.

Kejadian yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada 16 Disember lalu telah mengorbankan 31 nyawa termasuk enam orang guru, tiga murid dan dua mangsa daripada pihak pengurusan kantin dari sekolah berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button