Berita SemasaPM X

Anwar umum potongan cukai taksiran 30 peratus bagi kediaman terpilih di Putrajaya

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan semua kediaman yang berharga di bawah RM300,000 sekitar Putrajaya akan diberikan potongan sebanyak 30 peratus dari jumlah cukai taksiran yang dikenakan mulai 1 Januari ini.

Menurut Anwar, yang juga Menteri Kewangan, beliau mendengar rungutan dan pandangan daripada penduduk di Putrajaya bahawa cukai taksiran yang dikenakan ke atas premis kediaman mereka agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

“Setelah mendapat penerangan lanjut daripada pihak berwajib, saya bersetuju bahawa semua kediaman yang berharga di bawah RM300 ribu akan diberikan potongan sebanyak 30 peratus dari jumlah cukai taksiran yang dikenakan.

“Pengurangan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan bebanan rakyat terutamanya yang melibatkan golongan M40 dan B40 yang memiliki kediaman mampu milik di Putrajaya.

“Pengurangan cukai taksiran akan mula berkuatkuasa mulai 1 Januari 2023 sehingga penilaian semula dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Anwar lagi, potongan tersebut diberikan kepada premis kediaman yang telah siap dibina pada tahun 2017 sehingga kini yang melibatkan hampir 8,500 unit kediaman.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button