
Kerajaan Nepal haramkan aplikasi Telegram
KATHMANDU – Kerajaan Nepal mengharamkan aplikasi pemesejan Telegram susulan peningkatan kes penipuan dalam talian dan pengubahan wang haram.
Pihak Berkuasa Telekomunikasi Nepal (NTA) dalam satu notis rasmi semalam berkata, semua penyedia perkhidmatan internet diarahkan untuk menyekat akses kepada aplikasi berkenaan dengan serta-merta, memandangkan ia semakin disalah guna untuk aktiviti jenayah, lapor Kathmandu Post.
“Memandangkan penyalahgunaan Telegram bagi penipuan dalam talian dan pengubahan wang haram (semakin menjadi-jadi), semua penyedia perkhidmatan diarahkan menyekat akses ke platform tersebut tanpa sebarang kelewatan,” kata notis rasmi itu.
Telegram, yang dilancarkan pada 2013 oleh dua beradik kelahiran Rusia, Pavel dan Nikolai Durov, merupakan aplikasi berasaskan awan yang terkenal dengan sistem penyulitan kukuh, ciri privasi, serta sokongan kepada sembang kumpulan berskala besar dan saluran siaran.
Langkah itu menyusul tindakan serupa terhadap aplikasi perkongsian video TikTok, yang diharamkan pada November 2023 atas alasan mengganggu keharmonian sosial dan menyebarkan kandungan berbahaya.
Bagaimanapun, larangan tersebut ditarik balik Ogos tahun lalu selepas syarikat induk ByteDance bersetuju mematuhi peraturan kerajaan dan menyokong kempen literasi digital serta promosi pelancongan.
Bagaimanapun, penganalisis berpendapat penguatkuasaan larangan seperti ini sukar dilaksanakan kerana ramai pengguna memilih menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) untuk memintas sekatan.
Pada masa yang sama, penganalisis mecadangkan supaya kerajaan membangunkan satu mekanisme kawal selia yang lebih kukuh berbanding mengenakan larangan menyeluruh.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |