BERITA SEMASADALAM NEGERILUAR NEGARA

Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam serangan di Kashmir

KUALA LUMPUR — Kementerian Luar mengesahkan tiada warganegara Malaysia menjadi mangsa dalam insiden serangan bersenjata yang menyasarkan pelancong di Kashmir, India yang mengakibatkan 26 kematian.

Dalam satu kenyataan rasmi, Wisma Putra memaklumkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sedang memantau rapi perkembangan insiden tersebut, selain menjalinkan komunikasi dengan ketua-ketua kumpulan pelancong Malaysia yang berada di kawasan berkenaan.

“Semua ketua kumpulan pelancong Malaysia memaklumkan bahawa ahli kumpulan masing-masing berada dalam keadaan selamat,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menjelaskan bahawa kawasan yang terlibat merupakan destinasi pelancongan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, maklumat terkini daripada pihak berkuasa tempatan memaklumkan tiada warganegara Malaysia terjejas dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, pihak berkuasa India menyifatkan serangan berkenaan sebagai antara yang paling buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengecam tindakan ganas tersebut dan memberi jaminan untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Kashmir agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya.

Kementerian juga memberi jaminan akan terus bekerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan di India bagi memastikan keselamatan semua warganegara Malaysia di rantau terbabit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button