
Loji Medivest di Melaka mampu proses 20 tan sisa klinikal sehari
MELAKA – Sebanyak 20 tan metrik sisa klinikal mampu diproses setiap hari di loji pelupusan sisa klinikal milik Medivest Sdn Bhd di Bukit Rambai, di sini, selari dengan usaha syarikat tersebut memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara secara menyeluruh.
Menurut Medivest, loji yang dibangunkan sejak tahun 2020 itu telah siap dibina meskipun berdepan cabaran getir semasa pandemik COVID-19, termasuk gangguan rantaian bekalan serta kekangan kemasukan pakar teknikal antarabangsa.
“Dalam tempoh mencabar tersebut, Medivest turut mengurus peningkatan ketara sisa klinikal hasil kerjasama rapat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, majlis perasmian loji berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Medivest Sdn Bhd oleh Ts. Abdullah Hashim, kelmarin.
Menurut Medivest lagi, pengangkutan sisa turut dipantau secara masa nyata menerusi Amplified Intelligence Centre (AIC) yang terletak di ibu pejabat Medivest.
“Loji tersebut dilengkapi dengan teknologi moden seperti Counter-current Rotary Kiln System, Air Pollution Control System dan Continuous Emission Monitoring System (CEMS) yang membolehkan pemantauan pelepasan secara berterusan agar sentiasa mematuhi piawaian alam sekitar.
“Kemudahan ini turut melambangkan pendekatan pintar dan moden dalam pengurusan sisa klinikal serta mencerminkan inovasi lestari dan pematuhan terhadap piawaian keselamatan serta alam sekitar,” katanya sambil menyatakan sebanyak RM30 juta telah dilaburkan untuk pembinaan loji tersebut.
Selain itu, Medivest turut menjalin kerjasama strategik bersama universiti tempatan dalam meneroka penggunaan semula abu insinerator sebagai bahan binaan konkrit, seiring dengan komitmen terhadap nilai ESG dan matlamat ‘zero waste to landfill’.
“Loji berkenaan juga dilengkapi sistem tenaga solar yang mampu menjana 230 MWh setahun, mengurangkan pelepasan karbon sehingga 174kgCO₂ setahun serta sistem penuaian air hujan bagi keperluan pengairan landskap.
“Komitmen syarikat dalam aspek keselamatan, kesihatan dan kelestarian turut diiktiraf menerusi anugerah Malaysia Technology Excellence Award 2024 bagi kategori ESG Tech – Environmental Services serta MSOSH Gold Class 1 Award,” menurut kenyataan lagi.
Baca juga : Pelarasan tarif air Selangor langkah mampan hadapi cabaran pertumbuhan populasi – MB

Dalam pada itu, pembangunan loji tersebut mendapat sokongan penuh Kerajaan Melaka, selaras dengan aspirasi negeri yang menekankan keberdayaan, kebertanggungjawaban dan kelestarian.
“Usaha ini turut dianggap sebagai model kejayaan kerjasama awam-swasta dalam sektor kesihatan dan alam sekitar,” katanya.
Untuk rekod, Medivest yang telah beroperasi sejak tahun 1997, mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam menyediakan perkhidmatan sokongan hospital di hospital kerajaan di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, termasuk fasiliti kesihatan swasta serta bangunan komersil.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |