BERITA SEMASAPMX

Kerajaan teliti cadangan naik taraf Majlis TVET Negara kepada suruhanjaya

AYER KEROH – Kerajaan sedang meneliti cadangan menaik taraf Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara kepada Suruhanjaya TVET Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penelitian yang dilakukan dengan Kementerian Kewangan itu merupakan satu langkah dalam memastikan pendidikan TVET dapat diperkasakan lagi.

“Kami meneliti cadangan itu untuk memastikan keutamaan mentransformasikan TVET dapat dilakukan, termasuk keperluan mencukupi, bentuk latihan yang baik dan bagaimana kita adakan sinergi serta kerjasama antara kerajaan dan swasta.

“Suruhanjaya ini adalah ke arah transformasi TVET yang sudah dikelolakan dengan baik dan meyakinkan ketika ini,” katanya.

Anwar berkatya demikian ketika merasmikan Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Anwar pada masa yang sama turut menyambut baik usaha meningkatkan kadar gaji minimum kepada sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan bagi lepasan TVET.

“Apa maknanya dasar yang boleh memberikan peluang pekerjaan yang lebih baik, dulu kita katakan gaji minimum RM1,700 (tetapi), Datuk Seri (Ahmad) Zahid dalam keputusan jemaah menteri untuk TVET ini tidak bersetuju kerana kalau ada peluang pekerjaan dapat sampai 98 peratus gajinya jumlah itu (RM1,700) itu tidak cukup.

“Gaji minimum untuk lulusan TVET kita nak naikkan kalau boleh sampai RM3,000 minimum sebagai permulaan supaya ada pakar yang dihargai dan diterima oleh syarikat multinasional dan juga syarikat tempatan atau domestik,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan merangka untuk menumpukan kepada usaha membantu lulusan TVET dalam bidang keusahawanan berbentuk latihan.

Katanya, fokus awal diberi adalah berbincang dengan badan dan syarikat kerajaan seperti PETRONAS, PERKESO, Khazanah Nasional serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan digabungkan untuk melaksanakan usaha terbabit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button