BERITA SEMASA

JAKIM diarah siasat syarikat tiada sijil halal dapat tender katering HCTM

SUNGAI PETANI – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah diarah menyiasat isu pemberian kontrak katering bernilai RM25.64 juta di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) kepada syarikat yang tidak memiliki sijil halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tindakan lanjut hanya akan diambil selepas menerima laporan penuh daripada Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

“Saya memang sudah arahkan Ketua Pengarah JAKIM untuk melihat isu itu dan dia akan maklum pada saya.

“Saya tak boleh nak respons (komen) sampai saya dapat laporan daripada JAKIM,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 sebelum ini mendedahkan sebuah syarikat bernombor pendaftaran 0267299-T dianugerahkan kontrak membekalkan makanan kepada HCTM selama tiga tahun bermula Februari 2024, walaupun tidak mempunyai sijil halal.

Audit tersebut mendapati, syarikat itu gagal melepasi penilaian teknikal namun tetap dibawa ke peringkat Jawatankuasa Penilaian Kewangan.

Menurut laporan itu lagi, jawatankuasa Penilaian Teknikal tidak mengesyorkan syarikat itu kerana tiada pengalaman, tidak memiliki sijil halal JAKIM dan tiada pensijilan HACCP (iaitu sistem pengurusan yang mengiktiraf dan mengawal bahaya dalam proses pengeluaran makanan).

Walaupun syarikat itu lulus penilaian kewangan, ia berada di kedudukan keempat terendah dan tetap tidak disyorkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button