BERITA SEMASA

Henti tajaan pelajar ke AS: MARA cadang alih ke UK

LONDON — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan perubahan dasar Amerika Syarikat (AS) termasuk dalam sektor pendidikan sebagai peluang untuk Malaysia meneroka kelebihan sistem pendidikan di negara lain.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, antara negara yang berpotensi ialah United Kingdom (UK), memandangkan hubungan kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara telah lama terjalin.

“Kita tahu bahawa MARA telah membuat keputusan untuk tidak lagi menghantar pelajar tajaan ke AS. Saya berpandangan apabila kita berdepan ancaman, sentiasa ada ruang untuk peluang. Kita perlu melihat dari sudut berbeza.

“Dalam keadaan seperti ini, saya fikir sistem pendidikan di UK yang telah kita pelajari sebelum ini wajar dimanfaatkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan pramesyuarat bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja empat hari ke UK yang bermula hari ini.

Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) berkata demikian ketika mengulas keputusan MARA untuk menghentikan penghantaran pelajar ke AS.

Semalam, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan bahawa agensi itu tidak lagi akan menaja pelajar ke AS mulai tahun ini susulan pelaksanaan dasar baharu oleh Presiden Donald Trump.

Antara dasar yang diperkenalkan termasuk arahan menghentikan pemprosesan visa untuk pelajar asing serta langkah menyaring pemohon berdasarkan kandungan media sosial mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button