
Dakwaan kerajaan tarik subsidi LPG tidak tepat, mengelirukan – Armizan
KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa kerajaan akan menarik balik atau mengurangkan subsidi gas petroleum cecair (LPG) disifatkan sebagai tidak tepat dan mengelirukan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau menegaskan, kerajaan kekal komited untuk menyalurkan subsidi LPG kepada rakyat selaras dengan mandat KPDN bagi memastikan tiada ketirisan dan penyelewengan dalam pengagihan subsidi tersebut.
“Mandat yang diberikan kepada KPDN adalah untuk menangani ketirisan dalam bentuk penyelewengan dan penyeludupan, bukannya untuk menarik atau mengurangkan, apatah lagi memansuhkan subsidi LPG,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, subsidi LPG merupakan subsidi kepenggunaan yang disasarkan kepada isi rumah dan kerajaan turut mempertimbangkan keperluan sektor makanan dan minuman berskala mikro serta kecil, memandangkan mereka juga memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Kerajaan terbuka membenarkan premis mikro dan kecil untuk terus menikmati subsidi LPG dengan syarat mereka mengekalkan harga makanan dan minuman pada kadar mampu milik, bukan harga premium,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Armizan yang merupakan Ahli Parlimen Papar turut menyentuh perbezaan ketara harga antara LPG bersubsidi dan komersial yang menyebabkan ruang ketirisan terbuka luas.
Sebagai contoh, harga LPG bersubsidi bagi satu tong 14kg ditetapkan pada RM26.60, manakala harga LPG komersial bagi jumlah sama mencecah sekitar RM71 menjadikan subsidi kerajaan sebanyak RM43.40 atau 62 peratus.
Keadaan itu telah menyumbang kepada kegiatan penyeludupan dan penyelewengan, termasuk aktiviti haram decanting iaitu pemindahan gas daripada tong bersubsidi ke tong komersial untuk dijual semula pada harga lebih tinggi.
Bagi menangani isu ini, KPDN bukan sahaja mempergiat penguatkuasaan melalui pelbagai akta berkaitan, malah turut melaksanakan pendekatan pengurusan risiko keterisan melalui pindaan kepada Perintah Perbekalan Kawalan Petroleum (PPKP) 2021.
Tambah beliau, kerajaan juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh untuk memperkemas mekanisme kawalan dan penguatkuasaan subsidi LPG.
Setakat ini, pihak kementerian telah menerima beberapa memorandum cadangan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen dan persatuan industri.
“Kita sasar untuk mengumpul semua memorandum selewat-lewatnya pada 31 Oktober ini. Walaupun kuasa memperkenalkan peraturan berada pada menteri, saya akan bawa perkara ini ke Jemaah Menteri kerana ia melibatkan pelbagai kementerian,” jelas beliau.
Beliau juga mengingatkan bahawa peruntukan subsidi LPG yang mencecah RM3.4 bilion bukan jumlah kecil.
“Jumlah itu mampu membina 34 buah sekolah dalam masa setahun. Maka penting untuk kita pastikan subsidi ini kekal mampan demi kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang,” tambahnya.
Mengenai soalan berhubung jumlah kes penyeludupan dan penyelewengan yang dibawa ke mahkamah, Armizan berkata akan mengemukakan jawapan secara bertulis kepada Dewan Rakyat dalam masa terdekat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |