
Kerajaan lulus RM121 juta naik taraf jalan Jerantut-Kuala Lipis
KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi meluluskan peruntukan sebanyak RM121 juta bagi Projek Menaik Aras Jalan FT234 yang menghubungkan Jerantut dan Kuala Lipis, Pahang.
Perkara itu dinyatakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Jerantut, Ts. Khairil Nizam Khirudin di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, projek tersebut akan merangkumi penambahbaikan di beberapa seksyen utama yang sering mengalami masalah banjir serta isu kecuraman yang menyebabkan kenderaan berat terkandas.
“Jalan Jerantut – Kuala Lipis (FT234) merupakan jalan tunggal dua lorong dengan lebar maksimum kira-kira 6.0 meter dan panjang keseluruhan hampir 61.66 kilometer (km).
“Laluan ini merupakan akses utama yang menghubungkan Jerantut ke Kuala Lipis, selain Jalan Maran-Jerantut-Benta (FT64) yang lebih jauh dan berselekoh.
“Setiap kali musim tengkujuh, beberapa bahagian jalan ini sering terputus akibat banjir, terutamanya di Seksyen 43.05 (Kampung Sepial), Seksyen 47.30 (Jambatan Sungai Kerak) dan Seksyen 56.00 (Jambatan Sungai Teh).
“Selain itu, keadaan jalan yang curam di kawasan Bukit Mentimun dan Bukit Atap turut menjadi punca kenderaan berat sering terkandas, sekali gus menghalang laluan trafik,” jelas beliau.
Tambahnya, sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5 RMKe-12), kerajaan telah meluluskan projek menaik taraf jalan di lokasi-lokasi kritikal ini.
“Jabatan Kerja Raya kini sedang dalam proses memuktamadkan skop projek serta kerja-kerja rekabentuk sebelum kerja fizikal dimulakan. Projek ini dijangka akan bermula di tapak pada Disember 2026.
“Dengan siapnya projek ini, ia diharapkan dapat menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku serta mengurangkan risiko kenderaan berat terkandas akibat kecuraman jalan.
“Usaha ini juga akan meningkatkan keselamatan dan kelancaran perjalanan bagi pengguna jalan raya di kawasan tersebut,” jelas beliau.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |