
Ketidaktentuan global gugat perdagangan, sektor tenaga – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keterhubungan global yang kini digugat ketidakstabilan geopolitik mengancam asas perdagangan dunia, khususnya dalam sektor tenaga dan iklim.
Berucap pada majlis perasmian Energy Asia 2025, Anwar menyifatkan ketegangan geopolitik, tarif timbal balas serta gangguan rantaian bekalan sebagai antara faktor utama yang menjejaskan kebolehpercayaan sistem ekonomi sedia ada.
“Kita kini menyaksikan perubahan dasar yang semakin bersifat memecahbelah, didorong persaingan strategik, sedangkan isu keselamatan tenaga masih belum dapat dicapai oleh banyak negara,” katanya dalam ucapan perasmian.

Mengulas mengenai peralihan tenaga di Asia Tenggara, Perdana Menteri menegaskan bahawa rantau ini perlu membentuk satu kerangka kewangan yang jelas dan tersusun bagi membina keyakinan pelabur serta menarik modal ke dalam projek tenaga boleh diperbaharui.
Beliau berkata, Asia Tenggara pada ketika ini hanya menerima dua peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan global dalam tenaga bersih pada tahun 2023, walaupun memiliki potensi tenaga boleh diperbaharui yang besar.
Bagi usaha domestik, Anwar mengetengahkan inisiatif Skim Pembekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) yang membolehkan syarikat membeli tenaga bersih daripada grid nasional menerusi model akses pihak ketiga.
Tambahnya lagi, pelaburan hijau turut digalakkan melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau.
Dalam aspek infrastruktur pula, Anwar menekankan bahawa pemodenan sistem grid elektrik serantau adalah tonggak penting dalam peralihan kepada agenda tenaga bersih.
Beliau merujuk kepada inisiatif ASEAN Power Grid (APG) yang kini dipercepatkan menerusi memorandum persefahaman baharu dan penubuhan rangkaian pembiayaan khas APG.
“Langkah ini akan memudahkan aliran pembiayaan rentas sempadan dan membawa kita lebih dekat ke arah pembentukan pasaran tenaga serantau yang benar-benar bersepadu,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |