MCMC pertimbang rangka kerja kawal selia kandungan memudaratkan dan ketidakseimbangan media dalam talian
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempertimbang satu rangka kerja bagi mengawal selia kandungan memudaratkan dan ketidakseimbangan media dalam talian.
Kata MCMC, pihaknya bersama Kementerian Komunikasi Digital (KKD) telah mengadakan perbincangan dengan platform dalam talian utama seperti Meta dan Google bagi mewujudkan rangka kerja pelesenan dan kawal selia.
“Cabaran yang dihadapi termasuk penyebaran kandungan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak, perjudian dalam talian, kandungan yang menyentuh agama, kaum dan raja (3R), penipuan dan pancingan data.
“Selain itu, penjualan serta promosi bahan terlarang seperti dadah, penyamaran, serta penyebaran maklumat dan berita palsu,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Perbincangan yang diadakan di Ibu Pejabat MCMC di sini semalam, dipengerusikan Ketua Setiausaha KKD, Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi MCMC, Mohamad Salim Fateh Din, turut dihadiri pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kenyataan tersebut turut berkata, MCMC akan mengguna pakai model yang dilaksanakan di Australia dan Kanada sebagai rujukan pelaksanaan kawal selia berkenaan.
Kata MCMC lagi, kerajaan juga komited untuk menggalakkan persaingan adil, mengukuhkan hak harta intelek, melindungi pengguna daripada kandungan memudaratkan dalam talian serta menjaga privasi pengguna.