TPM sifatkan guna logo, tema Hari Kebangsaan berbeza ‘kerja gila’
PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyelar cadangan pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza di empat negeri diperintah parti itu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pengunaan logo dan tema Hari Kebangsaan tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia adalah acara yang bersifat nasional.
Justeru, Ahmad Zahid menyifatkan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari yang mengutarakan perkara berkenaan sebagai ‘gila’ dan tidak layak bergelar Ahli Parlimen.
“Dia (Ketua Pemuda PN) ini gila ke apa? Ini bukannya soal politik, sebab soal bendera soal Hari Kebangsaan ini adalah acara nasional.
“Saya fikir jangan dipolitikkan perkara ini. Saya fikir dia tak layak jadi Ahli Parliimen kalau sikapnya terlalu jumud.
“Jangan ingat semua perkara boleh dipolitikan,” kata Pengerusi Barisan Nasional itu pada perasmian Kick – Off Kejohanan Bola Sepak Piala YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi di sini hari ini.
Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini berkata sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.
Katanya, logo alternatif itu berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil pula semalam, berkata akan meneliti dan menyiasat mengenai perkara berkenaan kerana tidak mahu perbezaan berlaku yang akan mewujudkan jurang serta mewujudkan suasana tidak bersatu padu.
Katanya, sambutan Bulan Kebangsaan bukan bersifat politik, sebaliknya ia adalah sambutan yang diadakan di peringkat negara.