
Malaysia adakan perbincangan dengan syarikat utama di Qatar
DOHA – Malaysia mengadakan pertemuan bersama pemimpin industri daripada beberapa syarikat utama yang berpangkalan di sini, untuk meningkatkan aliran pelaburan asing ke dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia terus mengorak langkah agresif dalam usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi dengan memberikan taklimat tentang iklim pelaburan terkini di Malaysia.
“Melalui pertemuan ini, saya dapat menjelaskan mengenai keadaan semasa dan prospek pelaburan di Malaysia, serta meyakinkan para pelabur bahawa negara kita mampu menjadi destinasi pelaburan pilihan.
“Kami berharap Malaysia dapat muncul sebagai destinasi pelaburan berpotensi kepada pelabur dari Qatar serta negara-negara lain, insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di laman media sosial.
Terdahulu beliau mewakili Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) dan Kementerian Kewangan (MOF) mengetuai pertemuan inisiatif tersebut.
Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan yang menarik dan boleh menjadi rakan perdagangan yang kompetitif di rantau ini.
Antara syarikat terkemuka yang hadir dalam pertemuan ini adalah Estithmar Holding, Baladna, Taleb Group, Morex Group, Tamam Capital dan Al Mana Group.

Katanya, syarikat-syarikat ini mewakili pelbagai sektor industri yang berpotensi untuk berkembang dan melabur di Malaysia.
Jelasnya, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan MITI untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.
Sehubungan itu, pertemuan tersebut diharapkan dapat membuka peluang kerjasama yang lebih luas antara Malaysia dan syarikat-syarikat utama di Qatar.
Susulan dengan itu, Malaysia berhasrat untuk terus memposisikan diri sebagai negara yang mesra pelabur, menawarkan pelbagai insentif dan kemudahan bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |