Dr. Ahmad Samsuri angkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini dilantik semula menjawat jawatan itu dalam majlis angkat sumpah di Istana Syarqiyyah di Chendering, dekat Kuala Terengganu.
Ahmad Samsuri, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang, melafazkan sumpah memegang jawatan tersebut di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 3.18 petang tadi.
Turut berangkat pada Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pelantikan itu berikutan kemenangan gabungan PAS dan Bersatu yang memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu pada pilihan raya negeri, Sabtu lalu.
Samsuri memperoleh 20,927 undi dengan majoriti 17,286 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Suhaimi Sulaiman.
Ahmad Samsuri yang popular dengan gelaran Dr. Sam dilantik kali pertama sebagai menteri besar Terengganu pada 10 Mei 2018 selepas PAS memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Terengganu
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan setakat ini belum ada keputusan mengenai lantikan wakil daripada kelompok masyarakat tertentu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di negeri ini ekoran ketiadaan pembangkang di negeri itu.
“Sekiranya ada kelompok tertentu dan kaum yang tidak ada perwakilan, ini akan diperhalusi. Setakat hari ini belum ada keputusan lagi cuma memang perkara ini sudah dibangkitkan oleh beberapa wartawan tentang kedudukan negeri yang tidak ada pembangkang.
“Pertamanya, saya berpendapat kita tak boleh salahkan rakyat yang buat keputusan. Rakyat dah buat pemilihan.
Ahmad Samsuri berkata, tiada kategori dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu yang menyatakan ADUN lantikan perlu dilantik dari kalangan pemimpin politik dari parti pembangkang.
“Dari segi undang-undang itu tak ada kategori sedemikian. Ia hanya lantik kelompok masyarakat yang tiada wakil sebagai contoh dari segi jantina seperti wanita atau kaum lain iaitu Orang Asli dan sebagainya.
“Tidak ada ADUN lantikan dari parti lain. Jadi ADUN Perikatan Nasional dinasihatkan supaya bersikap terbuka dalam menyuarakan pandangan termasuk mengkritik kerajaan negeri berikutan ketiadaan pembangkang dalam DUN,” jelasnya.