Pembangkang sifar : kerajaan Terengganu sedia terima teguran semua pihak
KUALA TERENGGANU – Ketiadaan pembangkang di Terengganu akan memberi banyak kelebihan dalam tadbir urus kerajaan negeri, kata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, kemenangan penuh parti gabungan Perikatan Nasional di negeri itu tidak beerti kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak dalam pentadbiran sebaliknya sedia menerima kritikan daripada semua pihak.
“Kita akan mempunyai kekuatan yang lebih dan akan banyak masalah boleh diselesaikan, boleh pinda undang-undang negeri, perlembagaan negeri dan macam-macam.
“Dalam Islam walaupun tak ada pembangkang , ahli-ahli dewan boleh menasihati kerajaan, kita akan galakkan budaya nasihat dalam kerajaan termasuk
menerima kritikan termasuk orang dalam kerajaan dan rakyat.
“Kita berpegang pada prinsip tiada yang sempurna jadi rakyat boleh beri pandangan melalui saluran yang rasmi dan betul,” katanya pada malam pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) malam tadi.
PN menang di semua kerusi 32 kerusi DUN termasuk satu kerusi Parlimen yang dipertandingkan kali ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 27 kerusi ditandingi calon Pas manakala lima lagi kerusi oleh calon Bersatu.
Abdul Hadi berkata, dalam pentadbiran PN Terengganu segala kekurangan akan ditampung oleh pimpinan secara berkumpulan, bukan oleh menteri besar sahaja.
“Kerajaan akan bersikap terbuka kepada kritikan-kritikan semua pihak,” katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizal Zainal Abidin untuk mempersembahkan calon yang akan diangkat sebagai menteri besar bagi membentuk kerajaan baharu.
Katanya, proses pembentukan kerajaan negeri termasuk barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dijangka diselesaikan dalam tempoh seminggu.