Hamzah Zainuddin kemuka surat tuntutan kepada kerajaan Malaysia
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini mengemukakan notis tuntutan kepada Kerajaan Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki sebagai menuntut keadilan atas dakwaan mengaitkan beliau dengan kes rasuah.
Ketua Pembangkang yang juga etiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata, surat tuntutan berkenaan telah dihantar oleh peguamnya melalui Jabatan Peguam Negara telah pun diakui diterima.
Melalui tuntutan itu, Hamzah menggesa ketiga-tiga pihak yang dinamakan berhenti daripada bertindak secara sebelah pihak dan sebagai menuntut keadilan ditegakkan dan kezaliman dihentikan.
“Kita maklumkan kepada mereka bahawa beberapa pegawai telah melakukan perkara yang lebih baik saya maksudkan penyalahgunaan kuasa dan bersubahat untuk mengaitkan saya dengan kesalahan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, tuntutan dibuat selepas beliau membaca dan meneliti laporan polis yang dibuat seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan empat pertuduhan rasuah bernialai RM15 juta.
Merujuk kepada kes itu, Steven Choo Thiam didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Cnetre Sdn Bhd , Hep Kim Hong melalui individu bernama Syed Abu Zafran Syed Ahmad.
Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam, iaitu Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri ketika kes berkenaan untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.
Hamzah berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat, Choo Thiam mendakwa wujud ketidak adilan dan menerima layanan buruk semasa ditahan SPRM.
“Steven yang ditahan sehingga 4 pagi telah menerima ugutan, cuba disabitkan kesalahan jenayah, ditengking dan dimarahi.
“Saya lakukan ini adalah kerana nak betulkan sikap mereka yang pada saya berpakat menggunakan cara betul dan juga salah untuk merosakkan reputasi dan karier politik saya,” katanya yang mendakwa wujud konspirasi oleh sesetengah pihak yang menggunakan SPRM.
Hamzah ketika membacakan teks tuntutan itu berkata, pegawai kerajaan yang dipertanggungjawabkan dengan tugas sepatutnya mempertahankan hak-hak perlembagaan rakyat yang tidak boleh dilanggar sewenang-wenangnya.
“Jika anda berterusan melanggar kewajipan dan kewajipan bersumpah perlembagaan anda, kami (wakil peguam) mempunyai arahan daripada anak guam kami untuk segera memulakan prosiding terhadap anda dengan menuntut pampasan bagi kehilangan dan kerosakan kepada anak guam kami, serta untuk melindungi dan membuktikan reputasi anak guam kami,” kata Hamzah ketika membacakan teks tuntutan tersebut.