Digugurkan atas sebab lain, bukan sebab lantang kritik parti
Komen Rafizi berkenaan pengguguran Rafie sebagai calon DUN Ampangan
SEREMBAN – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menafikan pengguguran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Mohamad Rafie Ab Malek sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) di kali ini kerana lantang mengkritik parti.
Rafizi berkata, ada juga pemimpin lantang mengkritik namun dikekalkan pucuk pimpinan yang membuat pelbagai pertimbangan sebelum dimuktamadkan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tak (bukan sebab Rafie lantang kritik)… yang lain gugur juga. Ada (yang) kritik kasar dikekalkan.
“Kalau tengok PKR kali ini tak timbul soal itu, kita perlu calon Wanita pada PRN kali ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Jelajah Madani DUN Sikamat di Taman Megaway, di sini malam tadi.
Semalam, Rafie membuat kejutan apabila tampil sebagai calon bebas di DUN Ampangan yang menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru membabitkannya, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin dari Perikatan Nasional (PN).
Pada PRU14, Rafie yang mewakili PH, menang di kerusi itu dengan majoriti 1,360 undi.
Susulan tindakannya, keahlian Rafie dalam PKR gugur secara automatik berikutan tindakannya menjadi calon DUN Ampangan atas tiket bebas.