Tengku Zafrul digesa letak jawatan Bendahari BN Selangor
KUALA LUMPUR – Selepas tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Ogos ini, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz digesa untuk meletak jawatan selaku Bendahari UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor.
Memetik loporan Sinar Harian, Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin berkata, ketiadaan Tengku Zafrul dalam senarai calon PRN memberi gambaran beliau telah disisihkan dalam keputusan penting.
“Pemuda UMNO Kota Raja berharap Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Zafrul dapat melepaskan jawatan Bendahari UMNO dan BN Selangor.
“Memegang jawatan tetapi disisihkan daripada keputusan penting menunjukkan pelantikan sebagai bendahari sekadar kosmetik semata-mata tanpa tanggungjawab yang signifikan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya lagi, Tengku Zafrul yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak terlibat dalam rundingan kerusi bagi PRN 12 Ogos ini.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akur selepas nama beliau tidak tersenarai sebagai calon dalam PRN Selangor.
Menurut Zafrul, sebagai ahli parti, beliau menyerahkan kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk menentukan strategi terbaik untuk memenangi pilihan raya dan menyatakan komitmen untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan dalam PRN.