PendapatRencana

[PENDAPAT] Majoriti keluarga masih bergelut kos sara hidup yang tinggi

KOS sara hidup merupakan sejumlah perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh seseorang individu ataupun sesebuah keluarga untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal serta keperluan lain untuk kelangsungan dan keselesaan hidup.

Taraf hidup seseorang dikatakan merosot atau berkurangan sekiranya pendapatan yang diterima berada pada kadar yang lebih rendah berbanding dengan kos sara hidup dan sebaliknya.

Kenaikan kos sara hidup berlaku disebabkan oleh kenaikan pelbagai harga barang khususnya barang-barang keperluan.

Perbezaan harga ini dirasai apabila sebahagian besar daripada pendapatan bulanan dibelanjakan untuk pembelian barang-barang keperluan.

Keadaan ini dikatakan semakin membebankan disebabkan kesan pengurangan subsidi kerajaan yang membawa implikasi kenaikan harga barangan.

TABUNGAN DAN SIMPANAN MASA DEPAN

Cabaran yang dihadapi oleh individu dalam keadaan ini ialah tiada memberi keutamaan kepada kegiatan menabung/simpanan kerana wang gaji digunakan untuk bayaran hutang dan perbelanjaan keperluan baik mereka yang bujang mahupun yang telah berkeluarga.

Harus diingat, jangka hayat bagi penduduk Malaysia terus meningkat kepada 75.6 tahun pada 2021 berbanding 72 tahun pada tahun 2000 sebagaimana yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2021.

Malaysia dijangka menjadi negara tua pada tahun 2030 ekoran daripada penambahan 15.3 peratus penduduk sedia ada  yang akan berhadapan dengan usia 60 tahun dan ke atas.

Justeru menjadi satu keperluan yang wajar diambil berat oleh individu selepas pencen, dari manakah sumber pendapatan mereka akan diperolehi selain daripada simpanan awal yang mereka lakukan ketika berada di alam pekerjaan.

Keperluan menyimpan ini bukan sahaja untuk diri sendiri, malah perlu mengambil kira kos untuk anak-anak yang memerlukan bantuan, kesihatan dan sebagainya.

Kajian daripada Pusat Kecemerlangan Akademik, Putra Business School, Universiti Putra Malaysia mendapati golongan pekerja kelas pertengahan perlu mempunyai wang simpanan persaraan sekurang-kurangnya RM400,000 sehingga RM480,000 untuk menampung kehidupan selama 20 tahun bagi kehidupan selepas bersara wajib pada usia 60 tahun.

Dianggarkan individu yang bekerja perlu menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji mereka. Situasi ini menjadi mencabar apabila 92 peratus rakyat Malaysia bimbang dengan keadaan dan keperluan kewangan mereka pada usia tua serta tidak bersedia menghadapi persaraan.

PENGURUSAN KEWANGAN

Cabaran seterusnya ialah menguruskan kewangan sebagaimana kajian mendapati 80 peratua perbelanjaan sama ada yang bujang atau berkahwin adalah untuk barang keperluan.

Dengan mengambil kira pendapatan isi rumah antara RM1,501 sehingga RM4,000 sebulan, mereka yang berkahwin membelanjakan 80 peratua daripada pendapatan terhadap 5 item keperluan (ansuran kenderaan (14 peratus), pinjaman peribadi (12 peratus), Perbelanjaan anak (11 peratus), Kos bahan api & ansuran rumah (7 peratus), Makanan basah (6 peratus) manakala 80 peratus perbelanjaan mereka yang bujang ialah pinjaman peribadi (27 peratus), ansuran kenderaan (11 peratus), kos bahan api (6 peratus) dan pemberian kepada ibu bapa (5 peratus).

Cabarannya di sini ialah bagaimana menguruskan 20 peratus untuk diri sendiri, yang mungkin untuk  tabungan, insuran dan kecemasan. Pada tahun 2014, 87.2 peratus (1,221) belia  mengakui bahawa kedudukan kewangan mereka berada pada keadaan tidak mencukupi berbanding 12.8 peratus (206).

Pada 2016, media pernah melaporkan, Individu yang mempunyai pendapatan RM3,000 ke bawah didapati kurang kemahiran menguruskan kewangan. Ini disebabkan mereka membelanjakan hampir separuh daripada pendapatan untuk membeli makanan, sekali gus menyukarkan mereka menyimpan kerana kos makanan semakin meningkat disebabkan inflasi.

Kajian menunjukkan individu berpendapatan rendah (RM3,000 ke bawah) membelanjakan antara 21 hingga 27 peratus  pendapatan untuk hiburan 46 peratus berbelanja melebihi pendapatan (Mastura Mohamad & Zakariah Md Sam, 2014) berbanding menyimpan sekaligus mencerminkan kelemahan pengurusan kewangan mereka.

Dalam pada itu, sebagaimanan dilaporkan media pada tahun ini, bagi golongan mahasiswa pula disebabkan kurang kemahiran pengurusan kewangan ini ditambah lagi dengan kos sara hidup yang tinggi menjadikan mereka sanggup mengikat perut, tidak menjaga kesihatan sehingga terdapat kes pelajar yang pengsan dan cedera ususnya demi memastikan kelangsungan hidup sebagai pelajar.

CABARAN MISKIN BANDAR

Golongan ini akan meningkat dan menjadi cabaran seterusnya yang perlu ditangani oleh kerajaan. Sebagai contohnya,  masalah kemiskinan bandar di Kuala Lumpur dan Selangor.

Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, pada 2015 menyatakan bahawa Kuala Lumpur mempunyai 385 orang yang dikategorikan miskin tegar,  1,594 miskin dan 121 mudah miskin. Manakala Selangor  841 dikategorikan  miskin tegar,  3,855 miskin dan 507 mudah miskin.

Sebagaimana kajian yang dilakukan, cabarannya di sini ialah kategori mudah miskin, iaitu mereka tidak berada dalam golongan miskin tetapi mudah miskin daripada aspek kos sara hidup tinggi dan golongan ini mampu menjadi miskin tegar apabila mereka berhadapan dengan peningkatan kos hidup bandar menyebabkan kehidupan mereka bertambah runcing.

Sebuah isi rumah dikira miskin sekiranya pendapatan mereka di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Dilaporkan pada tahun 2014, PGK di Semenanjung adalah RM930 sebulan (bandar)  berbanding RM870 (luar bandar).

Kini lebih dua pertiga rakyat tinggal di bandar, berbanding dengan sebilangan besar rakyat yang hidup di luar bandar di sebabkan oleh pembangunan ekonomi pesat di bandar. Kos hidup tinggi di bandar merupakan cabaran kepada penduduk untuk berbelanja.

Ramai masyarakat bandar yang mempunyai pendapatan walaupun melebihi PGK masih merasai kesempitan hidup disebabkan keperluan cara hidup di bandar. Walaupun pendapatan isi rumah mereka tidak tergolong dalam kumpulan miskin mengikut definisi mereka juga tidak ‘kaya’kerana masih perlu bergelut untuk hidup.

Malah, pada 2016 dilaporkan, apa yang menakutkan sebahagian besar rakyat Malaysia yang tinggal di pusat-pusat bandar berhadapan dengan situasi untuk muflis.

Berikut merupakan antara cadangan langkah-langkah menangani cabaran di atas.

Bijak Merancang Perbelanjaan

Individu yang berkahwin atau bujang perlu memberikan keutamaan perancangan berbelanja dengan melihat kepada keutamaan berbanding  kehendak. Membuat perbandingan harga sebelum berbelanja, perlu jimatkan penggunaan elektrik di rumah, memasak sendiri di rumah daripada makan di luar, mengurangkan aktiviti menggunakan kenderaan dan menimbangkan keputusan memiliki/menukar kereta untuk menambah hutang.

Selain itu, perlu membuang tabiat buruk seperti kerap menukar telefon bimbit baharu, bercuti di luar negara, mengelakkan pinjaman bank yang bertujuan untuk menambah aksesori kenderaan atau menaik taraf rumah.  Justeru, dengan mengamalkan perbelanjaan yang berhemah dan sederhana cabaran pertama dan kedua dapat dihadapi dengan baik.

Memperkasa Sistem Pendidikan

Oleh yang demikian, kerajaan perlu melihat semula dan memperkasakan sistem pendidikan. Kajian mendapati  pendidikan merupakan salah satu faktor yang tidak boleh disisihkan dalam usaha mengurangkan masalah kemiskinan (Hsiao, Ti & Lay, 2011).

Kurikulum perlu ditambahbaik dengan mengambilkira penerapan unsur-unsr melalui peningkatan kemahiran yang relevan untuk keperluan  ekonomi semasa.

Dicadangkan pihak Kementerian Pendidikan mengintegrasi beberapa silibus di sekolah/ universiti. Contohnya dalam subjek sains, perlu mengintegrasi topik-topik daripada subjek lain seperti kemahiran mencipta, inovasi, kemahiran berfikir dan  mengurus masalah.

Subjek ekonomi diintegrasikan topik mengurus kewangan, keusahawanan, mencipta produk dan begitulah untuk seterusnya. Ini adalah bertujuan untuk memberi pendidikan dan persediaan awal kepada pelajar menghadapi suasana ekonomi yang sering berubah dan mengetahui apakah langkah yang perlu diambil apabila tidak mendapat pekerjaan yang tidak sesuai dengan bidang pengajian.

Namun disebabkan mempunyai pelbagai pengetahuan dan kemahiran lain, diharapkan pengetahuan tersebut mampu menjadikan pelajar bijak memanipulasi kemahiran yang dipelajari untuk meningkatkan ekonomi sendiri.

Peningkatan kualiti pendidikan ini secara tidak langsung akan meningkatkan keupayaan bersaing di peringkat global serta  pencapaian akademik membolehkan seseorang berdaya saing yang lebih tinggi, berpeluang untuk mendapatkan pendapatan yang lebih baik, berkeupaya menjana ‘output’ yang banyak kepada masyarakat serta mengurangkan masalah kemiskinan khususnya di bandar.

Had Gaji Minimum Ditingkatkan

Had gaji minimum perlu dinaikkan lagi bagi wujudkan keseimbangan dengan harga barangan yang meningkat. Ini secara tidak langsung membolehkan rakyat berbelanja malah yang lebih penting memberi peluang kepada warganegara tempatan bekerja di negara sendiri dengan mengurangkan kebergantungan pekerja asing yang menguasai buruh  pasaran.

Sebagaimana dilaporkan media pada 2016, terdapat 2.1 juta atau 15.5 peratus perkerja asing separuh mahir daripada keseluruhan guna tenaga di Malaysia. Jika dilihat dari sudut positif, majikan akan dapat mengurangkan kos perbelanjaan mereka, namun boleh membantutkan pertumbuhan upah dan menyekat pekerja tempatan dalam proses mendapat kerja. Situasi ini akan meningkatkan jumlah pengangguran rakyat tempatan.

Justeru, pihak berkuasa memastikan majikan telus mengambil pekerja dengan mengutamakan pekerja tempatan dan pembayaran upah yang lebih tinggi. Pekerja tempatan pula, sepatutnya mengubah minda agar tidak terlalu memilih pekerjaan dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Peningkatan gaji minimum dan memberi keutamaan kepada warganegara perlu dilakukan bersungguh-sungguh sebagai usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020 serta masalah kemiskinan dapat diatasi.

Implikasi Kepada Pendapatan Isi Rumah

Tidak dapat dinafikan apabila kerajaan mengurangkan perbelanjaan terhadap perkhidmatan dan barangan, maka memberi kesan kepada pendapatan isi rumah, kenaikan cukai akan membebankan masyarakat dan mampu memberi kesan kepada psikologi, ekonomi dan sosial individu.

Terdapat beberapa cabaran utama kos peningkatan sara hidup ini iaitu kemampuan menyimpan tabungan selepas bersara, menguruskan perbelanjaan bulanan dan berhadapan dengan kemiskinan bandar.

Namun terdapat beberapa cadangan yang diusulkan bagi menangani cabaran tersebut antaranya daripada individu dan pihak berkuasa.

Maka, setiap individu perlu bijak merancang perbelanjaan dan bagi pihak kerajaan perlu memperkasakan semula sistem pendidikan dan meningkatkan had gaji minimum bagi mengurangkan bebanan ini kepada masyarakat  seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.

Oleh Prof. Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi, Open University Malaysia (OUM) dan Atriza Umar, Timbalan Setiausaha Pertubuhan Ilmuwan dan Cendiakawan Islam Malaysia (ILMAN)

Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malaysia Tribune.

Show More

Related Articles

Back to top button