PendapatRencana

Harga siling Beras Madani bebankan rakyat

PARTI PAS sangat terkilan dan bersimpati dengan nasib rakyat apabila harga beras, makanan ruji rakyat Malaysia, dinaikkan tanpa memikirkan nasib golongan B40. Harga siling beras 10kg dinaikkan daripada RM26 kepada RM30, iaitu kenaikan sebanyak 15 peratus.

Kerajaan MADANI gagal dalam menangani isu ketiadaan beras Super Spesial Tempatan (SST) yang dimanipulasi oleh kartel beras, sehingga menyebabkan kekurangan bekalan beras apabila berlakunya penukaran gred atau percampuran beras tempatan menjadi import sekali gus mengaut lebih keuntungan.

Kelemahan penguatkuasaan oleh Kerajaan MADANI melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, yang dilihat gagal menyekat aktiviti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import, yang bertujuan meraih keuntungan berlebihan.

PAS kesal dengan solusi mudah yang diambil Kerajaan MADANI untuk menjenamakan SST kepada Beras MADANI seterusnya menaikkan harga.

Pengguna dan rakyat menjadi mangsa kerana terpaksa membeli Beras MADANI pada harga yang lebih tinggi RM3.50 sekilogram berbanding harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan 5% (SST5) di peringkat runcit iaitu RM2.60 sekilogram sebelum ini, seperti termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Ini bertentangan dengan janji Perdana Menteri pada 19 September 2023 yang menjamin harga beras tempatan tidak naik, dikala pengguna menghadapi segala bentuk kenaikan kos hidup yang lain.

Kerajaan sepatutnya berada di pihak pengguna dengan membanteras aktiviti pemain industri beras yang mencampurkan beras putih tempatan dan beras putih import ini, bukan dengan merestui tindakan ini dan menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.

Pengumuman ini juga menimbulkan kekeliruan kepada pengguna samada selepas ini adakah jualan beras Super Spesial Tempatan dan Super Spesial Import akan diberhentikan sepenuhnya dan hanya ada beras putih Malaysia Madani yang boleh dijual pasaran?

PAS juga melihat kecelaruan yang berlaku dalam Kerajaan Madani apabila berlakunya pertembungan kepentingan diantara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Pengerusi Task Force Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), kerana mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, perkara berkaitan harga dan kawalan beras hanya boleh dibuat oleh Menteri bertanggungjawab.

Janganlah hanya kerana hendak menunjukkan kebolehan sendiri selepas dilantik oleh Perdana Menteri, tatacara, bidang kuasa serta urus tadbir negara ini menjadi caca merba.


Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS
Ahli Parlimen Jerantut
16 Februari 2024

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malaysia Tribune.

Show More

Related Articles

Back to top button