PendapatRencana

Pertembungan PRK Sungai Bakap: Siapakah pilihan pengundi antara Pendidik dan Penerus Legasi?

TINGGAL sehari hari lagi pengundi DUN Sungai Bakap akan membuat pilihan pemimpin yang akan mewakili mereka bagi kawasan N.20 Sungai Bakap pada 06 Julai (Sabtu) nanti.

Sudah lebih seminggu proses kempen pilihan raya dijalankan dimana PRK kali ini memperlihatkan pertarungan satu lawan satu atau dua penjuru yang menampilkan calon daripada Pakatan Harapan (PH), Cikgu Joohari dan Perikatan Nasional (PN), Abang Abidin.

Pada PRU Negeri yang lalu, DUN Sungai Bakap telah dimenangi oleh calon daripada PN iaitu Almarhum Abang Zam dimana kemenangan beliau keatas calon PH iaitu Nur Hidayah yang tidak berjaya mempertahan kerusi tradisi bagi Parti Keadilan Rakyat/PH. Berikutan kematian Abang Zam telah membenarkan pilihan raya kecil diadakan.

Pertembungan yang kini menjadi el clásico dalam kancah politik dinihari sudah pasti menjadi perhatian bagi seluruh rakyat Malaysia secara amnya.

Kini, Sungai Bakap menjadi tumpuan bagi jentera parti dari seluruh negara. Sudah pasti pelbagai bentuk kempen dan cara bagi meraih undi bagi calon masing-masing.

Sepanjang lebih seminggu tempoh kempen dilaksanakan, pelbagai isu dan polemik muncul daripada kedua-dua belah parti, masing-masing menampilkan kreativiti yang pelbagai dalam usaha menambat hati pengundi bagi memilih mereka sebagai ahli yang berhormat bagi kawasan mereka.

Kedua-dua calon mempunyai kekuatan masing-masing untuk ‘dijual’ kepada para pengundi mereka.

Cikgu Joohari sebagai sosok seorang guru, seorang pendidik dan mempunyai latar yang baik agamanya cukup memberi dilema kepada calon daripada PN iaitu Abang Abidin yang mana sudah berhadapan dengan pelbagai isu usai daripada pengumuman beliau sebagai calon.

Dalam cubaan menampilkan calon ‘profesional’, PN telah menyatakan beberapa keraguan profil calon yang dipersoalkan banyak orang dan sudah pasti menjadi objek serangan daripada PH.

Pemerhatian di media sosial juga memperlihatkan kedua-dua calon memanfaatkan sebaiknya ruang dalam meraih undi anak muda dan cubaan memberikan imej yang baik kepada awam dengan pelbagai idea penyampaian, suntingan video pendek berkenaan aktiviti kempen harian seperti ziarah, bersalaman, berjumpa dan menyertai aktivit masyarakat setempat.

Kedua-dua mereka dilihat setara didalam media sosial namun terdapat sedikit kelebihan kepada Cikgu Joohari kerana mesej perpaduan yang dibawa menjadikan ianya lebih diikuti oleh mereka yang terdiri daripada pelbagai latar masyarakat walaupun Abang Abidin mempunyai lebih ramai pengikut di media sosial.

Dalam kempen harian, berdasarkan pemerhatian imej CIkgu Joohari dilihat lebih diterima masyarakat memandangkan sosok beliau sebagai seorang guru dilihat lebih mudah menelusur kepada mereka dibawah.

Beliau sangat mudah bergaul tambahan pula hampir setiap hari beliau akan berjumpa dengan anak muridnya sendiri yang kebanyakkannya bangga dengan pencalonan beliau.

Abang Abidin pula dilihat bermula sukar kerana beliau dilihat sebagai pengganti kepada almarhum Abang Zam, dan itulah yang diimejkan kepada Abang Abidin sebagai penerus legasi Abang Zam dengan membawa nama ‘abang’ yang dilihat lebih mesra dan santai.

Namun pembawakkan tersebut memberi sedikit dampak negatif apabila mula ada yang membandingkan karakter antara Abang Abidin dan Abang Zam dan sudah pasti ini adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh calon daripada PN ini.

Serangan peribadi pada kali ini kita boleh lihat agak kurang berbanding PRK lain hal ini kerana masing-masing punya kekuatan tersendiri, jika calon PH hendak diserang berkenaan latar pendidikan dan agama agak sukar kerana Cikgu Joohari merupakan seorang memegang gelaran Doktor Falsafah namun panggilan cikgu yang kelihatan lebih sinonim dengan diri beliau.

Latar keagamaan beliau juga baik kerana beliau merupakan anak kepada imam di sebuah masjid di Sungai Bakap tambahan pula anak beliau juga merupakan seorang Da’ie yang begitu dikenali sering muncul dikaca televisyen.

Begitu juga Abang Abidin, tidak banyak serangan peribadi boleh dibuat kepada beliau hanya isu yang hangat diawal berkenaan kelayakan yang dilihat tidak tepat namun telah pun dijawab.

Beliau yang menyandang kerja Abang Zam dilihat punyai kelebihan kerana sudah pun sering bersama Almarhum Abang Zam dalam berkempen pada PRU Negeri yang lalu dan berkhidmat sepanjang tempoh sebelumnya.

Pelbagai faktor dan aspek mampu dilihat untuk dijadikan penanda aras dalam memilih Ahli Yang Berhormat bagi DUN Sungai Bakap pada kali ini, dan sudah pasti yang hendak dipilih adalah mereka yang mampu menyuarakan isu setempat dan menyelesaikan isu yang dihadapi.

Adakah pemimpin berjiwa pendidik atau pemimpin penerus legasi menjadi pilihan? Justeru pengundi Sungai Bakap mempunyai tanggungjawab menentukan pemimpin kalian pada 6 Julai (Sabtu) nanti. Pilih pemimpin mengikut kekuatan dan kapasiti bukan mengikut emosi, maka selamat mengundi.

Artikel oleh:
H.Ahmad
Pengarah Stategik, Akademi Pendidikan Demokrasi & Kewarganegaraan Malaysia (APDK)

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malaysia Tribune.

Show More

Related Articles

Back to top button