Annuar Musa dakwa 2 juta ahli sudah tinggalkan UMNO
SEREMBAN – Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, mendakwa UMNO kini bukan lagi parti yang menjadi pilihan rakyat selepas lebih dua juta ahli parti itu sudah meninggalkan parti.
Menurut Annuar yang kini merupakan ahli Pas, UMNO kini bukanlah parti yang mengutamakan perpaduan rakyat, sebaliknya menjadi parti yang melindungi kepentingan individu.
“Realitinya hari ini, UMNO bukan lagi parti pilihan rakyat. Dua juta ahli parti itu sudah meninggalkan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
“UMNO bukan lagi parti yang mengutamakan perpaduan rakyat. UMNO bukan lagi parti yang nak menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Ia sudah bertukar menjadi satu parti menjaga kepentingan individu, menjaga kepentingan kelompok dan puak tertentu, sekarang ini mereka sibuk menjaga dan menjadi tukang sapu kepada parti DAP semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Perikatan Nasional (PN) di Senawang, malam tadi.
Yang hadir sama, Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyudin Hasan; Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.
Tambah Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh, UMNO sedang dikongkong dan digonggong Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Tidak ada sebab untuk saya menyokong sebuah parti politik (UMNO) yang sedang dikongkong Presidennya (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang telah merosakkan dirinya sendiri.
“Tiada sebab untuk saya menghabiskan sedikit sebanyak harta benda bagi menyokong parti itu yang telah rosak dan lebih penting menjadi penderhaka nombor satu kepada perjuangan orang Melayu dan umat Islam dalam negara ini,” katanya lagi.