Hampir separuh bas Rapid tidak beroperasi secara aktif
KUALA LUMPUR – Hanya sekitar 900 daripada 1,757 buah bas milik Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid) beroperasi dengan aktif manakala 45 peratus daripada kenderaan itu telah berusia lebih daripada 10 tahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata demikian dalam sidang Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Wong Shu Qi (PH – Kluang) yang ingin tahu berapa banyak bas milik anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd itu yang beroperasi setiap hari.
“Bas Rapid menjalankan penyelenggaraan pada semua bas-bas dalam pegangannya yang beroperasi di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan.
“Jumlah bas yang dalam pembaikan berbanding jumlah bas yang boleh digunakan untuk operasi berubah-ubah mengikut jenis pembaikan yang dilaksanakan terhadap sesebuah bas,” katanya.
Sementara itu Loke berkata, menerusi inisiatif ‘fleet replacement and electrification program’, Rapid juga sedang menggantikan bas-bas yang sudah lanjut usia dengan bas epeltrik dan diesel yang baru mulai tahun depan.
Katanya langkah itu dibuat kerana kenderaan yang ada sekarang berisiko untuk mengalami kerosakan dan ia melibatkan kos pembaikan yang tinggi serta tidak ekonomi.
Selain itu jelas Loke, bas Rapid juga mengalami masalah kekurangan pemandu menyebabkan pengoperasian mereka tidak dapat dioptimumkan seperti yang sepatutnya.
“Berdasarkan rekod kami, terdapat 867 kekosongan kapten bas yang perlu diisi sehingga hujung tahun 2023.
“Bagi menangani isu ini, aktiviti pengambilan sedang giat dijalankan dan bagi menarik minat lebih ramai calon berpotensi, penambahbaikan faedah kakitangan telah dilaksanakan seperti kenaikan elaun dan gred untuk kapten bas,” jelas ahli Parlimen Seremban itu.