Berita Semasa

Beri ancaman kepada negara, SKMM pertimbang sekat Telegram

KUALA LUMPUR – Pelbagai ancaman kepada negara, khususnya membabitkan keselamatan, penipuan serta sebaran maklumat palsu menjadi pertimbangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengenakan sekatan terhadap aplikasi Telegram.

Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, tindakan tegas perlu dibuat bagi memberi perlindungan kepada pengguna platform terbabit, selain menjamin kedaulatan negara.

Beliau berkata, ini kerana aktiviti jenayah siber di Telegram melonjak secara drastik dan kini berada di kedudukan lima teratas, berbanding hanya di kelompok 11 antara 2019 hingga 2020.

“Telegram memiliki tahap keselamatan bagi aspek pengguna, iaitu kerahsiaan atau tidak dikenali, ‘end-to-end encryption’ (penyulitan menyeluruh) sangat tinggi serta membolehkan perkongsian data besar di ‘cloud’ (servis awan) yang menjadikan platform berkenaan popular.

“Malah, Telegram tidak ada kemungkinan, keperluan mendaftar, mendapatkan credential (bukti kelayakan) atau diundang untuk menyertai (kumpulan sembang), selain tiada admin (pentadbir) yang mengawal dan memberi risiko kepada penjenayah siber untuk dikenali.

“Keadaan ini menjadikannya sebagai platform pilihan bagi penjenayah siber untuk beralih daripada ‘dark web’ (sesawang gelap) kepada laman Telegram,” katanya pada sesi temu bual ‘Aplikasi Telegram: Gugat Keselamatan Pengguna’ dalam rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.

Lebih membimbangkan apabila tiada saluran atau pihak rasmi boleh dihubungi membabitkan aplikasi berkenaan bagi menyatakan sebarang isu berbangkit mahupun membuat susulan.

Mengulas lanjut, Zulkarnain turut menarik perhatian mengenai sistem ‘bot’ atau robot dikenali sebagai ‘Telegram bot’, yang mampu melancarkan serangan siber secara automatik.

Katanya, bot terbabit mampu menggodam semua maklumat berkaitan log masuk, bukti kelayakan, kata laluan, kata laluan keselamatan, jika ia bersifat perisian hasad (perisian direka untuk membahayakan komputer).

“Apabila bot masuk ke dalam peranti atau rangkaian organisasi, dia boleh pergi lebih jauh dan akan duduk di situ untuk mengumpul maklumat yang berkemungkinan rahsia.

“Justeru, kita sebagai pengguna perlu melihat diri sendiri sebagai bukan vektor kepada penyebaran selanjutnya, selain jangan mudah untuk berkongsi sewenang-wenangnya, terutama (mesej) membabitkan ‘link’ (pautan).

“Pengguna perlu peka risiko dan satu klik boleh mengundang bencana, bukan hanya kepada diri sendiri sebaliknya turut membabitkan organisasi dan negara,” katanya.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengambil tindakan segera terhadap Telegram yang enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkait pelbagai isu keselamatan siber, termasuk penipuan dalam talian.

Ia susulan kenyataan jurucakap Telegram, Remi Vaughn yang mengakui enggan bekerjasama dengan KKD kerana aplikasi itu tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik.

 

Show More

Related Articles

Back to top button