Mahkamah benar Rosmah dapatkan pasport sementara untuk ke Singapura
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini, membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura.
Tiga panel hakim dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Azman Abdullah membenarkan permohonan itu dengan menetapkan syarat bahawa pasport perlu dikembalikan pada 10 Mei depan.
Rosmah yang juga Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, diwakili Peguam Datuk Jagjit Singh memohon untuk mendapatkan pasportnya bemula 23 Mac ini sehingga 5 Mei depan untuk melawat menantu, anak perempuan dan cucunya yang dikatakan tidak sihat.
“Permohonan supaya Rosmah dapat ke Singapura pada 23 Mac dan pulang kembali ke negara ini pada 5 Mei. Anak guam akan meluangkan masa di negara itu selama enam minggu memandangkan ada cuti Aidilfitri.
“Saya difahamkan pihak pendakwan tiada bantahan terhadap permohonan dibuat dan pasport dipulangkan seminggu selepas anak guam pulang dari Singapura,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn, mengesahkan tidak membantah permohonan berkenaan.
Terdahulu, Rosmah yang memakai baju kurung berselendang merah jambu tiba di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada jam 9.30 pagi sambil ditemani peguam dan pembantu peribadinya.
Pada 1 September tahun lalu, Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, mendapati Rosmah, 72, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta RM970 juta.
Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, namun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya yang akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 11 hingga 14 Julai ini.
Rosmah turut berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).