Annuar Musa sah sertai PAS – Takiyuddin
KUALA LUMPUR – Lebih 10 bekas pemimpin UMNO termasuk bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa akan menyertai PAS dan berkemungkinan besar bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pengumuman penerimaan keahlian tokoh politik berkenaan dalam PAS dijangka akan dibuat penghujung bulan ini.
“Saya mengesahkan borang permohonan beberapa tokoh besar itu telah siap, kita tunggu masa untuk membuat pengumuman sahaja. Insya-Allah akhir bulan ini.
“Saya boleh mengesahkan Tan Sri Annuar Musa sudah isi borang untuk menyertai PAS, dan kita akan buat pengumuman dalam waktu terdekat dan bersama rakan-rakan lain dalam Umno (bekas ahli),” katanya menurut Astro Awani.
Mengulas mengenai bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pula, katanya, bekas Ahli Parlimen Rembau itu “menunjukkan minat” menyertai Bersatu.
Sementara itu, mengulas mengenai isu kalimah Allah, beliau yang juga ketua Whip Parlimen PN, berkata gabungan itu akan membawa usul berhubung isu itu pada persidangan Parlimen akan datang.
Katanya, isu melibatkan kalimah Allah sepatutnya dibawakan ke Mahkamah Syariah kerana isu tersebut bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.