Hubungan Malaysia, Korea Selatan ditingkat kepada Perkongsian Strategik
SEOUL – Hubungan dua hala di antara Malaysia dan Korea Selatan yang ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik merupakan satu pencapaian penting dalam kerjasama kedua-dua negara selama beberapa dekad.
Menurut BERNAMA, pengumuman itu dibuat semasa mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol di Seoul hari ini.
Kedua-dua pemimpin tersebut dalam satu kenyataan bersama berkata, komitmen mereka adalah untuk meningkatkan kerjasama dalam empat bidang utama: keamanan dan keselamatan, pembangunan ekonomi, budaya dan pendidikan, serta kerjasama serantau dan global.
“Perkongsian Strategik ini menandakan keazaman bersama Malaysia dan Korea Selatan untuk memperluas kerjasama ke horizon baharu dalam menggalakkan kebebasan, keamanan dan kemakmuran sambil menangani cabaran global yang mendesak,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk mengeratkan hubungan pertahanan dan keselamatan, termasuk kerjasama dalam industri pertahanan dan usaha untuk menangani isu keselamatan bukan tradisional seperti jenayah siber dan pengedaran dadah.
Mereka juga mengakui kepentingan pertukaran peringkat tinggi secara berkala untuk mengukuhkan kepercayaan bersama dan hubungan strategik.
Dari segi ekonomi, kedua-dua pihak komited untuk mempercepatkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas untuk memuktamadkannya menjelang 2025.
Mereka juga berjanji untuk mengukuhkan kerjasama dalam sektor baharu muncul seperti ekonomi halal, teknologi digital dan agenda hijau, dan turut berhasrat menandatangani satu Memorandum Persefahaman baharu untuk memperdalam kerjasama pelancongan dua hala.
Yoon turut mengulangi sokongan Korea Selatan terhadap Pengerusi ASEAN Malaysia pada 2025, menekankan kepentingan kerjasama serantau dan global untuk menangani cabaran bersama.
Kenyataan Bersama itu seterusnya mengecam penggunaan teknologi peluru berpandu balistik oleh Korea Utara dan menyeru usaha antarabangsa diperkukuhkan untuk menangani krisis kemanusiaan, termasuk situasi di Gaza.
Perdana Menteri tiba di sini semalam bagi lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan.
Kedua-dua negara akan meraikan ulang tahun ke-65 jalinan hubungan diplomatik pada 2025.