Berita Semasa

Kempen Madani Go Green galak kitar semula di Taiping

TAIPING – Usaha menjadikan Taiping sebagai bandar lestari diperkukuhkan melalui pelancaran Kempen Madani Go Green: Kelestarian Bandar Taiping melalui program kitar semula dan penyerahan tong kitar semula kepada Jawatankuasa Penduduk (JKP) Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Goh See Hua berkata, kepentingan kempen itu sebagai satu langkah berterusan untuk memupuk budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat.

“Ini bukan sekadar satu acara tetapi permulaan kepada amalan kitar semula yang berterusan. Sokongan semua pihak amat penting untuk memastikan kejayaan usaha itu,” katanya di sini hari ini.

Sebanyak 24 set tong kitar semula telah diserahkan kepada 24 zon ahli JKP MPT, sumbangan daripada ADUN Aulong, Teh Kok Lim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

Tong kitar semula itu bertujuan memudahkan komuniti setempat melaksanakan amalan kitar semula bersama ahli JKP di kawasan masing-masing.

Kempen Madani Go Green bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya kitar semula dan mengubah sikap serta pemikiran masyarakat mengenai tanggungjawab mereka dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir; Pengarah Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan, Ami Faizul Yaacob; Pengarah Zoo, Dr. Muhamad Ridhwan Affendi; Ahli-ahli Majlis; serta Ketua-ketua Jabatan MPT.

Inisiatif itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada budaya kitar semula yang lebih meluas di Taiping, seterusnya menyumbang kepada kelestarian alam sekitar di bandar tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button