Politik

Bung Moktar tidak tunduk desakan letak jawatan

KOTA KINABALU – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata beliau tidak akan tunduk dengan desakan yang memintanya meletak jawatan berikutan keputusan Mahkamah Rayuan semalam berhubung kes rasuahnya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu hari ini berkata, beliau tidak mahu menjawab komen pihak terbabit yang disifatkannya sebagai tidak berwibawa dan berat sebelah.

“Saya tidak terpanggil untuk menjawab komen dari badan bukan kerajaan (NGO) yang langsung tidak berwibawa dan berat sebelah.

“Soal dalam UMNO biarlah UMNO yang tentukannya. Kes saya bukan kes baharu, ianya telah berjalan bertahun-tahun,” katanya dalam maklum balas yang dikongsikan kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan pihak tertentu yang memintanya meletak jawatan selepas Mahkamah Rayuan semalam, memerintahkan kes rasuahnya dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, kes mahkamah yang dihadapinya tidak mengganggu kedudukan beliau untuk menjalankan tugas selaku Ketua UMNO Sabah.

“Kepada semua penyokong UMNO – BN, bertenang dan jangan terganggu dengan keadaan yang berlaku, sentiasa fokus kepada memperkasakan parti.

“Insya-Allah yang benar pasti akan mengatasi perkara yang tidak benar,” katanya lagi.

Sebelum ini, kepemimpinan UMNO Sabah turut menyatakan sokongan kepada Bung Moktar dan menghormati proses undang-undang yang dilalui pemimpin berkenaan.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button