Kerajaan Selangor teliti mekanisme tepat pastikan penama skim Khairat Darul Ehsan terima bantuan
SHAH ALAM – Kerajaan negeri sedang meniliti mekanisme yang tepat bagi memastikan proses bantuan berjumlah RM1,000 kepada waris penama skim Khairat Darul Ehsan dapat dimudahkan dan dilancarkan.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, kerajaan negeri akan berkerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan hanya waris yang layak membuat tuntutan.
“Ini penting kerana kita tidak mahu orang lain (bukan waris sebenar) datang menuntut. Dalam masa sama, kita mahu urusan mudah sekali gus meringankan beban keluarga mengurus jenazah.
“Kerajaan Negeri tidak mahu terlepas pandang perkara ini. Skim ini komitmen dan iltizam negeri bantu rakyat walaupun ada kawasan mengenakan caj pengurusan jenazah sehingga RM1,200,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Anfaal berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan wakil rakyat DUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berhubung langkah pemberian dan kajian skim tersebut.
Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM20 juta untuk melaksanakan skim itu mulai 1 Jun tahun depan, yang memanfaatkan 20,000 individu berusia 50 tahun ke atas serta orang kurang upaya (OKU).
Sebelum ini, bantuan khairat kematian warga emas melalui Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dihentikan pada Mei 2019 sebelum disambung semula pada 2021.