Berita SemasaDalam NegeriJenayah & Mahkamah

BERSATU fail saman pemula, cabar keputusan tidak kosongkan lima kerusi parlimen

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mengosongkan lima kerusi Parlimen yang disandang bekas ahli parti itu adalah tidak berperlembagaan.

Saman itu difailkan oleh Setiausaha Kerja BERSATU, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Whip parti, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, pada 15 November lalu melalui Tetuan Chetan Jethwani & Company.

Lima ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang), yang turut dinamakan sebagai defendan bersama Johari.

Plaintif memohon perisytiharan bahawa Johari melanggar Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan melalui surat bertarikh 9 Julai yang memutuskan tiada kekosongan luar jangka bagi lima kerusi terbabit. Mereka juga mahu mahkamah memperbetulkan tafsiran salah terhadap peruntukan undang-undang oleh Johari dan memastikan beliau memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang kekosongan kerusi dalam tempoh 21 hari.

Menurut plaintif, lima defendan tersebut telah melanggar dasar parti dengan menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) memutuskan tidak menyokong kerajaan.

“Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU telah memberikan arahan kepada mereka untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri. Namun, walaupun diberi peluang, mereka gagal mematuhi arahan tersebut,” kata plaintif dalam dokumen saman tersebut.

Plaintif menyatakan bahawa pada 17 Mei, MPT telah mengeluarkan arahan khusus kepada defendan kedua hingga keenam untuk menarik balik sokongan mereka, tetapi ia tidak dipatuhi.

“Pada 12 Jun, BERSATU mengeluarkan notis rasmi bahawa keahlian mereka terhenti serta-merta dan nama mereka dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan BERSATU.

“Keputusan defendan pertama pada 9 Julai adalah tidak sah dan melangkaui bidang kuasanya apabila beliau memutuskan tiada kekosongan kerusi Parlimen untuk defendan kedua hingga keenam. Ini bertentangan dengan Perkara 49A(1)(a)(ii) dan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan,” tambah plaintif.

Plaintif menegaskan, hanya mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan keperlembagaan peruntukan parti dan keputusan MPT, bukan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Alasan defendan pertama bahawa peruntukan Perlembagaan BERSATU dan arahan khusus MPT bertentangan dengan hak kebebasan bercakap dan mengundi adalah tidak relevan. Ia hanya alasan semata-mata,” katanya lagi.

Kes itu dijangka menjadi perhatian kerana ia melibatkan isu tafsiran undang-undang Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan undang-undang antilompat parti.

Show More

Related Articles

Back to top button