Tuanku Azizah bergelar mahasiswa UIAM
KUALA LUMPUR – Tengku Ampuan Pahang, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ibn Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj membuktikan usia bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu.
Dalam perkongsian di akaun TikTok rasmi baginda, Tuanku Azizah berkenan berkongsi berita gembira itu dengan memuat naik beberapa foto sambil memegang kad pintar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Back to school. Doakan saya.”
Demikian kapsyen yang ditulis pada hantaran beberapa keping gambar yang menunjukkan kad MySiswa milik baginda yang turut memaparkan perkataan International Institute of Islamic Thought and Civilization (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa).
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberikan kata-kata semangat kepada Tuanku Azizah di atas titah pengumuman tersebut.
“Menjadi contoh kepada anak muda di luar Tuanku untuk terus kekal bersemangat menuntut ilmu. Daulat Tuanku,” tulis Liley Afzani Saidi.
“Sedikit nasihat, jangan buat assignment last minit. Tapi biasa last minit paling perform. Good luck, Tuanku,” ujar Hana.
“Untung siapa jadi group assignments. Boleh cerita kat cucu, ‘dulu nenek buat assignment dengan Sultanah’. Gitew,” kata Asma Fras pula.
Tidak ketinggalan, ada juga komen berunsur jenaka daripada netizen.
“Wah, Tuanku kalau bawa bekal pergi sekolah mesti best,” tulis j2506.
“Boleh claim voucher buku Tuanku,” kata anakkaktipah.
Untuk makluman, Tuanku Azizah telah dilantik semula sebagai Ketua Perlembagaan UIAM bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa mulai 31 Januari lalu.
Pelantikan semula Tunku Azizah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ia merupakan penggal kedua baginda menjawat jawatan berkenaan selepas dilantik bagi penggal pertama pada 2019.