Berita Semasa

Bakal pemilik PPR perlu duduki kursus sivik mulai tahun ini

PUTRAJAYA – Individu yang bakal memiliki rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) perlu menghadiri kursus kesedaran sivik mulai tahun ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kursus berkenaan akan meliputi taklimat mengenai pentingnya membayar yuran penyelenggaraan, menjaga kebersihan dan mengelakkan vandalisme.

“Kesedaran sivik yang tinggi akan menjadikan komuniti tersebut lebih mesra alam dan mesra komuniti.

“Sebab itu mereka perlu hadir kursus kesedaran sivik kerana semua pihak perlu faham apabila kita menikmati kemudahan (disediakan di perumahan) ada juga tanggungjawabnya oleh penghuni. Oleh itu, sebelum ambil kunci rumah kena hadir kursus,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama, baru-baru ini.

Kursus berkenaan akan diisi dengan modul berkenaan kesedaran sosial, pemahaman dan tanggungjawab mengenai hidup berkomuniti dan adab kejiranan.

PPR merupakan program dilaksanakan kerajaan bagi memenuhi keperluan tempat kediaman golongan berpendapatan rendah yang dilaksana Jabatan Perumahan Negara.

Bagaimanapun, terdapat banyak isu sosial dikaitkan dengan PPR seperti vandalisme, kebersihan, membuang sampah dari tingkat atas dan adab kejiranan sehingga turut dilaporkan dalam media.

Show More

Related Articles

Back to top button