Bung Moktar, Zizie Izette diperintah bela diri kes rasuah RM2.8 juta
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diperintahkan membela diri atas tiga pertuduhan rasuah melibatkan jumlah RM2.8 juta.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin.
Hakim Ahmad Zaidi ketika membacakan keputusan berkata terdapat bukti ‘prima facie’ terhadap tiga pertuduhan. Oleh itu, responden perlu membela diri, dan kes ini dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Berdasarkan pertuduhan pada 3 Mei 2019 Bung Moktar ketika itu menjawat jawatan Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, didakwa menerima wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui isterinya, Datin Seri Zizie Izette.
Wang tersebut dikatakan sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan bernilai RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, Kuala Lumpur, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Selain itu, Bung Moktar didakwa menerima dua lagi suapan, masing-masing RM262,500 dan RM337,500, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) dan Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) atas nama isterinya bagi tujuan yang sama. Kedua-dua transaksi tersebut didakwa berlaku di lokasi yang sama pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan terhadap Bung Moktar dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berdasarkan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM.
Jika sabit kesalahan, beliau juga boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Mahkamah menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.