Malaysia Ultra Trail by UTMB: Duo Ji pecah rekod kategori 100 km
TAIPING – Kejohanan Malaysia Ultra Trail by UTMB melabuhkan tirainya hari ini dengan mencatat sejarah baharu apabila pelari dari China, Duo Ji, memecahkan rekod baharu bagi kategori lelaki 100 kilometer (km).
Beliau mencatat masa 11 jam, 1 minit, dan 18 saat, sekali gus memadamkan rekod terdahulu 12 jam, 15 minit, dan 40 saat yang dipegang oleh atlet Malaysia, Daved Simpat, sejak 2023 ketika kejohanan dikenali sebagai Malaysia Mountain Trail Festival (MMTF).
Selain itu, dua pelari Malaysia turut mengharumkan nama negara apabila Milton Amat meraih tempat ketiga dan Haziq Asyraf berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik.
Dalam kategori wanita, prestasi membanggakan turut ditampilkan oleh empat pelari Malaysia, Nurazlina Razali, Lela Ismail, Peg San Tan dan Lim Siok Har, yang berjaya berada dalam kelompok 10 terbaik bersama atlet antarabangsa yang lain.
Pengarah perlumbaan Malaysia Ultra Trail by UTMB, Ewgene Tan, melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian atlet tempatan.
“Berada dalam kelompok 10 terbaik bukanlah perkara mudah. Itu membuktikan kualiti pelari trail yang kita miliki di Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Ewgene turut menambah bahawa kejayaan atlet negara menunjukkan perkembangan positif dalam sukan larian denai di Malaysia.
Beliau juga menekankan impak besar kejohanan itu bukan sahaja terhadap pembangunan sukan tetapi juga kepada ekonomi negara melalui penglibatan pelbagai pihak tempatan dan antarabangsa.
“Saya merupakan sebahagian daripada kumpulan UTMB dan pakar teknikal larian trail di rantau Asia. Saya berharap dapat membantu memajukan sukan ultra trail di rantau ini.
“Kami juga berharap untuk menganjurkan kejohanan ini di Sarawak pada masa hadapan,” tambahnya.