Runding sahaja tak perlu ugut, Zaid beritahu Adun Sarawak
PETALING JAYA – Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Zaid Ibrahim menyifatkan teguran seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kepada Petronas sebagai keterlaluan dan tidak diplomatik.
Beliau berkata, kenyataan ADUN yang menuduh Petronas tidak menghormati undang-undang negeri Sarawak serta dakwaan bahawa Sarawak mungkin memutuskan hubungan dengan Kerajaan Perpaduan berhubung pertikaian itu juga tidak mencerminkan semangat perpaduan dan terlalu ‘keras’.
“Cara ADUN itu bercakap sangat mengejutkan dan provokatif. Kita rakyat Malaysia tidak biasa dengan peras ugut. Kita lebih suka berunding,” katanya memetik laporan FMT.
Pada Khamis lalu, ADUN Stakan, Hamzah Brahim pada sidang DUN Sarawak memberi amaran kepada kerajaan persekutuan agar tidak membenarkan ‘rasa bangga dan ketamakan’ Petronas ‘menyumbang’ kepada potensi kejatuhan kerajaan Madani.
Hamzah juga menyelar ‘pemimpin-pemimpin’, yang tidak dinamakannya, kerana menurutnya bersikap hipokrit apabila secara terbuka mengaku menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi di belakang tabir, cuba meremehkannya.
“Saya bukan bercakap sama ada bagi pihak Petronas atau kerajaan perpaduan, tetapi sekadar sebagai warga persekutuan yang baik.
“Saya percaya ada isu perundangan dan perlembagaan yang serius perlu dipertimbangkan, dan dua belah bagi setiap hujah undang-undang.
“Untuk (tujuan) ini, sikap tenang dan hujah yang bijak mesti jadi yang terutama, bukan ancaman sia-sia,” ujarnya.
Beliau juga berkata, sumbangan oleh Petronas dan kerajaan persekutuan terhadap semua negeri persekutuan, termasuk Sarawak, sejak 50 tahun lalu tidak patut diperkecil atau dilupakan.
“Harus diingat, kita orang Semenanjung orang baik dan mahu lihat hubungan baik dengan Sarawak berterusan,” katanya menyeru semua pihak menjalankan rundingan dengan niat terbaik.