Mangsa ditikam pesakit mental dalam keadaan stabil
CYBERJAYA – Lelaki yang dilaporkan cedera ditikam seorang pesakit mental di Hospital Selayang, semalam, disahkan berada dalam keadaan stabil.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku ketika mangsa yang ingin mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kerana demam denggi, diserang pesakit terbabit.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pesakit mental di wad kecemasan dan klinik.
“Sebelum tular maklumat yang salah, saya ingin memaklumkan kejadian lelaki ditikam (semalam) membabitkan seorang pesakit mental yang dibawa ke hospital oleh polis.
“Ia boleh terjadi di mana saja, jadi kita akan mengkaji semula SOP berhubung pesakit mental bagi menjamin keselamatan pesakit lain di wad kecemasan dan klinik,” katanya.
Beliau memberitahu, mangsa yang cedera dalam insiden tikaman itu diselamatkan pasukan perubatan dan kini berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa telah meminta penjelasan daripada Hospital Selayang berhubung kes berkenaan.
Zaliha berkata, beliau terus bergegas ke hospital dari Dewan Rakyat selepas menerima berita itu.
“Kami bertemu keluarga mangsa dan menjelaskan apa yang berlaku serta langkah yang kami ambil untuk memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik,” katanya dalam satu ciapan di akaun Twitter miliknya.
Tambah Dr. Zaliha, keluarga pesakit dimaklumkan mengenai perkembangannya dari semasa ke semasa.
“Kejadian sedang disiasat oleh pihak berkuasa,” katanya lagi.