Yasin tulis buku kisah dalam penjara
SHAH ALAM – Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman atau Yasin akan menerbitkan sebuah buku untuk berkongsi pengalaman sepanjang menjalani hukuman penjara bersabit kes dadah yang pernah dihadapinya.
Menurut Yasin, naskah yang belum dihabiskan itu akan diterbitkan selepas dia dibebaskan daripada menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Buku bertajuk ‘Dari Pentas Juara Ke Penjara’ itu katanya ditulis semasa menjalani hukuman penjara dan rawatan mental.
“Saya ada tulis buku tetapi belum siap lagi. Ia berdasarkan pengalaman sepanjang berada di penjara dan Hospital Bahagia.
“Nama buku itu ‘Dari Pentas Juara Ke Penjara’ namun saya tidak pasti dapat terbitkan tahun ini atau tarikh lain,” kata penyanyi lagu Mimpi Laila itu.
Juara Anugerah Lagu ke-16 itu berkata, penghasilan naskah itu adalah sebagai tatapan kepada masyarakat untuk dijadikan iktibar dan pengajaran.
Yasin berkata demikian selepas hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk rayuan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang melepas dan membebaskannya dari tiga pertuduhan dadah termasuk hukuman seumur hidup.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Yasin melantik peguam bagi rayuan pendakwaan terhadapnya dalam tempoh sebulan.
Yasin kini menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta selama tempoh diperkenan Sultan Selangor.